“Dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak, demi kamu saling berkenal-kenal”
Maha suci Allah.
Begitu mahal nilai kemanusiaan yang diajar oleh-Nya kepada kita.
Pada suatu malam Sabtu yang sejuk, saya sempat memahami ayat ini. Praktis.
Ketika pulang dari latihan nasyid bersama beberapa orang kawan dan Muallim Firdaus, saya tidak bercadang untuk meneruskan apa-apa aktiviti. Sedang saya melintasi dorm Abu Bakar, seorang junior saya memanggil saya. Katanya, ada tetamu luar di dalam dormnya.
Tetamu luar?
Di dalam dorm, beberapa orang penghuninya sedang berkumpul di tengah-tengah dorm. Makan lewat malam rupanya. Saya minta tunjukkan kepada saya tetamu luar itu.
Di atas katil, beberapa orang sedang duduk memerhatikan seseorang membaca akhbar. Saya perasan akhbar yang dibaca tersebut berbahasa Cina.
Orang Cina mungkin?
Junior saya memberitahu yang tetamu tersebut boleh berbahasa Arab. Menarik. Saya mendekatinya, duduk di katil bersebelahan. Dia tampak khusyuk membaca akhbar cina tersebut kerana kehadiran saya langsung tidak disedarinya. Saya cuba-cuba memulakan perbualan.
“Ma ismuka?” saya soal namanya, sambil berbahasa arab.
Dia terkejut. Akhbar diletak seketika.
“Ismi Yahya bin ‘Ali,” dia memberitahu namanya, dalam bahasa arab yang cukup saya fahami.
Saya seterusnya bertanya tentang latar belakang beliau. Paling mengejutkan saya apabila kesemua soalan saya, dibalasnya dalam bahasa arab yang cukup fasih bagi saya.
Memang rupa-rupanya dia seorang Muslim berbangsa Cina. Bukan muallaf cina muslim di Malaysia, tetapi memang seorang yang lahir dalam keluarga Muslim di Utara China, di sebuah wilayah bernama Win Nan.
Saya bertanya tentang kebolehannya berbahasa arab dengan fasih. Dia bercerita pula tentang madrasah diniahnya di China, tempat dia belajar segala ilmu bahasa arab disertai juga ilmu-ilmu lainnya seperti fiqh, usuluddin, tafsir, dan sebagainya. Kesemuanya diajar dalam bahasa arab. Bukan oleh orang-orang Arab, tetapi oleh para asatizah dari China sendiri yang rata-rata merupakan lulusan universiti di Madinah dan Makkah.
Saya kemudian bertanya lagi tentang sejarah kehadirannya di Malaysia.
Rupa-rupanya dia di sini untuk belajar. Dan dia sedang belajar di Sekolah Kiblah di Bangi. Pada mulanya saya sukar mempercayainya, tetapi selepas disahkan oleh rakannya (melayu) yang datang bersamanya, barulah saya percaya. Mukanya yang agak matang dan iras-iras wajah pelakon filem Shaolin memang tidak menggambarkan umurnya yang baru sahaja mencecah 18 tahun. Di sini, dia menghafal Qur’an, dan semasa saya berbual dengannya, dia sudah pun menghafal 20 juzuk. Pernah dia cuba meminta saya membacakan sambungan ayat al-qur’an yang ditanyanya, lalu saya meminta maaf kerana kurang lancer hafalan. Dia menegur saya, mengingatkan peri penting mengulang-ulang bacaan Al-Qur’an. Sungguh, ketika itu saya cukup terharu.
Kami berbual cukup panjang malam itu, dari suasana pendidikan di China hinggalah masuk ke isu-isu yang cukup menggerakkan kami terus berdiskusi, iaitu isu dakwah kepada non-muslim di Malaysia. Dia menyoal saya sudah berapa ramai yang saya Islamkan sepanjang hidup saya. Saya ceritakan kisah-kisah saya cuba berdakwah kepada rakan non-muslim semasa kecil, dan saya jelaskan pula bahwa pada waktu ini, yang saya fahami ialah kita punyai tugas untuk membina daulah, dan kita harus membina peribadi-peribadi muslim. Dia tampak kurang selesa dengan idea itu, sebaliknya terus menceritakan kepada saya tentang kepentingan kita menceritakan hakikat-hakikat Islam kepada orang-orang bukan Islam di Malaysia. Saya mendengar pendapatnya dengan tekun dan kami sama-sama berlapang dada dengan perbincangan kami pada malam itu.
Hampir jam 2.00 pagi barulah kami mengucapkan selamat malam sesama kami.
- tamat hari 1-
No comments:
Post a Comment