Entah dari mana idea itu muncul. Saya sendiri pun kurang pasti.
Biar saya cuba ingat-ingatkan. Biarkan ia muncul satu demi satu.
* * * *
Saya ingat sekali, bila Meor mula-mula sekali mencadangkan rekarnasi gerai KitaSemua™. Dan dia begitu cepat. Dua lot gerai siap ditempah ketika kami diberitahu cadangan itu. Sahabat saya Meor memang bersemangat dan rajin bekerja, terutama yang tidak disuruh.
Saya juga ingat, kami berbincang-bincang sambil bersandar di pagar musolla yang dimakan usia sambil mengelap peluh jantan yang hangat mengalir di dahi. Ya, waktu itu sudah tengahari, dan kami duduk di situ. Bincang-bincang sambil berangan-angan besar lagi panjang. Lalu, sahabat muda saya, mubasyir, entah bagaimana, dari mulutnya sendiri beliau mencadangkan. Mari, kita buka kedai gambar, kita cuba ‘test power’. Cadangan itu, atau lebih tepat, angan-angan itu, dapat sambutan meriah dari semua yang sama bertenggek di sekelilingnya.
Pasti saya ingat, saya segera memberi respons spontan. Kedai gambar cadangan hebat, lebih lagi yang membuatnya juga hebat, bertambah hebat! (dengan nada penuh bertenaga seperti Cikgu Zul). Kita mampu buat, mengapa tidak? Lalu, semenjak itu, idea tersebut mekar berkembang, sehingga kadang-kadang mengerikan kami sendiri. Bercambah terlalu liar walau tanpa baja, itu maksud saya. Agak pelik kerana kami sendiri belum pasti bagaimana idea yang sudah tumbuh matang itu harus berubah menjadi kerja yang realistik. Juga kerana kami sendiri belum pasti betapa banyak peluh dari dahi, ketiak, belakang badan, dan tempat-tempat lain yang harus dikerah keluar sekiranya ia benar-benar menjelma di depan mata.
Cuma yang saya pasti ingat, niat ingin berusahawan dan berdikari mencari pendapatan itu yang terus-menerus mendorong kami.
Percaya atau tidak, saya masih ingat, bagaimana akhirnya kami memindahkan idea liar itu di atas kertas licin berwarna putih di bilik warden hingga jelas hitam dan putihnya. Kami catatkan elok-elok pakej-pakejnya dan kami tuliskan elok-elok nilainya. Sungguh, memang banyak benar yang boleh kami tulis sebenarnya, dan sungguh besar nilai keuntungan yang mampu kami hitungkan, jika malam itu kami tidak berbicara soal peralatan.
Ya, sungguh saya ingat. Peralatan yang diperlukan berjaya buat kali pertamanya malam itu, di bilik warden yang hening, membuat kami bimbang dan risau. Setakat itu, hanya itu cabaran terbesar yang kami sendiri tidak berani membuat andaian kejayaannya. Tapi jangan lupa, dan memang malam itu kami juga tidak lupa, akan niat keusahawanan kami yang tinggi, dilapik dengan jiwa besar kami ingin mempraktikkan seni yang selama ini hanya dipendam-pendam sendiri.
Kami akhirnya bubar malam itu dengan satu tekad, satu azam. Peralatan itu harus kami perolehi, walau terpaksa tidur sambil berdiri.
-tamat bahagian 1-
No comments:
Post a Comment