Pada pertengahan tahun 1997, keluarga saya berpindah ke sebuah kawasan perumahan yang baru dibuka berdekatan dengan Sungai Penchala. Sungai Penchala pada ketika itu hanyalah sebuah kawasan berbukit yang didiami oleh ramai orang asli. Ia pernah terkenal sebagai kawasan di mana terletaknya pusat kegiatan Al-Arqam suatu masa dahulu.
Kawasan tempat keluarga saya menetap ini dinamakan sebagai Bandar Sri Damansara. Ketika kami mula-mula berpindah ke situ, kebanyakan rumah baru sahaja siap dibina dan diluluskan selamat untuk didiami. Kami antara yang terawal pindah ke kawasan ini. Ketika itu, populasi penduduk di situ adalah hampir sama antara bangsa Melayu, Cina, dan India. Saya masih ingat pada waktu itu kami perlu ke kawasan perumahan yang terletak lebih kurang 15 minit dari kawasan kami untuk menunaikan solat di surau. Masjid belum lagi dibina ketika kami mula berpindah ke situ (setahun selepas itu Masjid Al-Mukarramah siap dibina di puncak bukit di kawasan kejiranan kami).
Apa yang menarik dengan kawasan kejiranan kami ini ialah ianya turut juga didiami oleh beberapa keluarga negara asing yang mempunyai perniagaan di Malaysia.
Rakan sepermainan saya yang pertama saya kenali sebaik sahaja pindah ke kawasan ini ialah anak seorang ahli perniagaan yang berasal dari Korea Selatan. Namanya ialah Lee Jin Ho. Rumah keluarganya terletak sebaris dengan rumah keluarga saya. Dia dan adiknya, Lee Tae Ho, adalah rakan sepermainan saya dan adik-beradik yang pertama kami kenali. Kami berkongsi pelbagai minat yang sama; basikal, tae kwon do, dan Playstation. Kami sering menghabiskan masa bersama-sama dalam ketiga-tiga perkara ini.
Di waktu petang selalunya kami akan menghabiskan masa di padang kawasan perumahan kami bermain bola sepak. Teman sepermainan kami pada waktu itu ialah dua adik-beradik warga Afrika Selatan (Muslim), dua adik-beradik Cina, dan beberapa orang rakan Melayu. Di waktu lain, biasanya saya dan Jin Ho akan berpusing-pusing merayau di sekitar kawasan perumahan kami sambil berbasikal.
Adik-beradik saya amat rapat dengan Jin Ho dan adiknya Tae Ho. Sepertimana kami sering ke rumah mereka untuk bermain, mereka juga sering mengunjungi kami di rumah. Biasanya mereka akan datang ke rumah kami sebelum waktu Asar (di musim cuti sekolah) dan akan menonton tv sebentar bersama kami. Sebelum kami keluar bermain basikal bersama, saya dan adik-beradik akan menunaikan solat Asar bersama. Selalunya, Tae Ho akan ikut serta berwudhuk dan solat bersama kami. Jin Ho akan duduk di tepi memperhatikan. Pada hari Jumaat, Jin Ho akan turut berbasikal bersama saya ke masjid dan menanti saya selesai solat di pagar masjid sebelum kembali bermain bersama. Katanya, dia tidak kisah mendengar khutbah masjid dari luar pagar.
Kenangan bersama Jin Ho yang paling segar dalam memori saya ialah pada suatu petang, seperti biasa saya dan dia duduk bersembang sambil bermain di taman permainan. Entah mengapa pada petang itu, perbualan kami tidak berlegar pada perkara-perkara biasa yang kami sering bualkan. Saya lupa apa yang menjadi sebab kami mula berbincang tentang agama kami (keluarga Jin Ho beragama Kristian dan agak rajin juga ke gereja).
Saya bertanya kepada Jin Ho, "Kau tak mahu masuk Islam?"
"Kenapa aku kena masuk Islam?" Jin Ho menjawab.
Saya terdiam sejenak. Berfikir apa jawapan yang sesuai (pada waktu ini saya berumur 9 tahun).
"Kalau orang Kristian takkan masuk syurga," jawab saya kepada Jin Ho.
Jin Ho angkat kening. "Betul? Tapi aku dengar di gereja, semua orang Kristian yang mati akan terus masuk syurga."
"Tak, itu salah. Semua orang Kristian yang mati akan terus masuk neraka. Itu baru betul." balas saya kepada Jin Ho sambil bersandar kepada gelongsor.
Jin Ho terdiam lagi.
"Aku tak mahu masuk neraka. Takut." Jin Ho menyebut kepada saya perlahan-lahan.
"Kalau begitu kau kena cepat masuk Islam. Mana tahu esok kau mati?" Saya soal semula kepada Jin Ho.
"Tapi aku takut ayah aku akan marah kalau aku masuk Islam," ujar Jin Ho. Wajahnya tampak gusar dan muram.
"Kau jangan takut. Nanti kalau ayah kau marah, aku minta tolong ayah aku jumpa ayah kau. Jangan risau, okay?"
Jin Ho memandang saya dan tersenyum. "Okay. Tapi boleh tak aku balik rumah dulu. Aku nak fikirkan malam ini."
"Boleh. Tiada masalah. Tapi jangan lupa kau boleh mati bila-bila masa." Saya menjawab.
"Aku tahulah...." Jin Ho tergelak menjawab.
Matahari senja merangkak turun, Maghrib menghampiri. Kami berdua segera menunggang basikal untuk pulang ke rumah masing-masing. Petang itu persahabatan kami terasa lain.
Malam itu, sesudah maghrib, saya berdoa, "Ya Allah, kau jadikanlah Jin Ho, kawanku ini, orang Islam macam aku, amin."
* * *
Ayah Jin Ho meninggal dunia setahun selepas itu. Keluarga mereka hilang sumber pencarian. Tidak beberapa lama selepas itu Jin Ho, adiknya Tae Ho, dan ibu mereka kembali pulang ke Korea Selatan. Malam sebelum mereka berangkat pulang Jin Ho sempat memberikan panggilan telefon terakhir kepada saya. Dia khabarkan kepada saya, dia rindu untuk bermain lagi dengan saya, melihat saya solat, dan menemani saya mendengar khutbah Jumaat di luar pagar masjid. Saya meletakkan gagang telefon sambil mengesat air mata.
Sudah hampir 13 tahun kami tidak pernah berhubung. Saya tidak tahu apa sudah terjadi kepada keluarga Jin Ho kini.
Baru-baru ini ada orang yang berkongsi kisah bertambahnya bilangan tentera Korea Selatan yang memeluk Islam. Setiap kali membaca berita ini, pasti akan terdetik di hati saya; mungkinkah Lee Jin Ho salah seorang darinya?
Hanya Tuhan yang tahu.
Walaupun bukan perkara yang saya alami, tapi bila saya baca kisah di atas ni, entah mengapa hati saya tersentuh pada dialog 'antara agama' tu.
ReplyDeleteMudah-mudahan hati mereka terbuka untuk menerima Islam.