September 19, 2012

Mesir, Mahasiswa, dan Paradigma Pemikiran


Menurut ilmu psikologi dan pembangunan sumber manusia, perbuatan dan tindakan manusia didorong oleh dua perkara. Yang pertama, kepercayaan dan ideologi yang dimiliki seseorang. Di dalam Islam, ia lebih dikenali sebagai 'aqidah. Yang kedua, nilai dan prinsip yang dipegang dan dianggap penting dalam hidup seseorang. Ini lebih dikenali di dalam Islam dengan apa yang disebut sebagai akhlaq. Hasil adunan kedua-dua ini akan membentuk paradigma atau tasawwur di dalam diri seseorang terhadap dunia (worldview), hingga lahirlah kemudiannya segala tindak-tanduk dan cara hidup.

* * *

Mahasiswa dan mahasiswi Mesir membanjiri perlembahan Nil saban tahun, sejak awal kurun ke-20 lagi. Generasi demi generasi datang berduyun-duyun dengan hajat menimba ilmu di bumi yang penuh dengan suasana yang tersendiri, dan asing di sisi bangsa Melayu.

Generasi awal dari Tanah Melayu yang datang ke bumi Anbiya' ini membina sejarah dan legasi mereka yang tersendiri. Penilaian dan pemerhatian mereka terhadap suasana yang mengelilingi mereka pada zaman itu, membawa mereka kepada beberapa usaha penting di sisi mereka, dengan niat ingin membina suasana saling membantu dan persaudaraan yang tinggi di kalangan semua bangsa Melayu yang ada pada ketika itu. 

Atas dasar dan semangat persaudaraan ini, serta ruh keterikatan dan kesatuan yang ada di jiwa, mereka dirikan sebuah badan yang mampu memenuhi hasrat tersebut. Satu-satunya badan, pada ketika itu, yang wujud sesuai dengan kecilnya bilangan mereka, yang berusaha memelihara keterikatan hati dan sifat saling membantu di kalangan para penuntut ilmu, khususnya di Al-Azhar.

Zaman demi zaman berlalu.

Generasi yang dahulu membuka jalan menuntut ilmu di Al-Azhar, kini sudah mula menghantar generasi cucu mereka pula menimba di telaga yang pernah mereka timba dahulu. Demi meneguk siraman ilmu yang sama yang pernah mereka rasai dahulu. Cuma bezanya kini, di zaman cucu mereka, penuntut dan penimba ilmu sudah berpuluh kali ganda ramainya. Berkat doa mereka inginkan zuriat yang berilmu, maka Allah alirkan generasi cucu-cucu mereka yang berbondong-bondong berasak di bangku ilmu, di Mesir ini.

Selari dengan fitrah manusia yang pelbagai rencah dan kerenahnya, pertambahan penuntut di bumi Mesir membawa satu suasana yang baru dan tersendiri, ditambah pula dengan para penuntut ilmu perubatan yang tidak pernah putus dihantar ke sini. Gerombolan penuntut ilmu baru ini mencipta satu suasana baru yang tersendiri, yang jauh berbeza dengan suasana datuk dan nenek mereka di Mesir dahulu, yang kecil bilangannya, dan sedikit pula ragamnya.

* * *

Imam Ibnu Al-Qayyim, ulama' ulung Islam satu masa dahulu, pernah menyebut di dalam kitabnya I'lam Al-Muwaqi'in
"Sesungguhnya Syariah ini terbina atas asas hikmah dan kemaslahatan hamba."
Kata-kata beliau ini menjadi petunjuk penting tentang satu hakikat di dalam Syariah yang asasi, iaitu kemampuan Syariah untuk berkembang dan berubah (pada yang boleh berubah) sesuai dengan perubahan zaman dan perkembangan situasi semasa. Ini dinyatakan dan ditekankan dengan jelas oleh Dr Yusuf Al-Qardhawy di dalam bukunya Madkhal Li Dirasah Syariah Islamiah di dalam bab 'Perubahan fatwa menurut perubahan zaman, tempat, dan situasi'. Sifat fleksibel, mampu berkembang, dan sentiasa memelihara faktor kesesuaian situasi inilah yang memungkinkan Islam sentiasa membawa kebahagiaan di dalam hidup para Muslim di dunia ini.

Malangnya, di bumi Mesir, di bumi ilmu berkaitan Syariah luas diajar dan dibincangkan, sifat penting Syariah ini tidak pula dihayati dan dijiwai para penuntut ilmu yang datang dari Malaysia. Keghairahan aktivisma dan keasyikan membina bakat kepimpinan, sering kali mengakibatkan sifat penting Syariah ini tidak sedaya upaya dijiwai serta diaplikasikan dalam kehidupan serta pengurusan seharian. Hilanglah hikmah dan kemaslahatan yang dipelihara oleh Islam, dan hilanglah kebahagiaan yang sepatutnya. Bumi Mesir yang luas dan kaya dengan ruang untuk semua mahasiswa disempitkan dimensinya. Pintu-pintu kerjasama dan perbincangan yang amat disaran di dalam Islam, tidak diusahakan untuk dibuka, malah dengan selesa dibiarkan tertutup sahaja.

Tiadalah yang rugi melainkan yang tidak menghayati ruh perubahan, ruh keterbukaan, serta ruh keanjalan, yang terpasak padu di dalam inti Islam dan Syariah sendiri.

* * *

Masyarakat Malaysia sedang melalui fasa-fasa perubahan yang besar. Rakyat Malaysia semakin terdedah kepada pelbagai perkara, secara positif dan negatif. Ini bererti, cabaran bagi mereka yang berada di Mesir, khususnya yang mengambil jurusan pengajian Islam, semakin berat. Kerja mendidik dan memahamkan rakyat terhadap Islam di Malaysia bakal menjadi lebih rumit dan menduga.

Di dalam arus dan suasana yang sebegini, mahasiswa yang diperlukan hanyalah mahasiswa yang mampu berkata seperti yang diajar oleh Al-Quran :

 " Katakanlah (hai Muhamad) : Inilah jalanku, aku menyeru manusia kepada Allah berdasarkan keterangan yang jelas dan nyata..." (Yusuf : 108)

Mahasiswa yang mampu membawa ajaran dan seruan di atas basiirah - kefahaman yang jelas, tepat, dan sahih - tidak akan mampu muncul dan lahir dalam suasana yang masih berpegang kepada fahaman lapuk, fahaman yang diwarisi, dan fahaman yang statik.
Hal ini juga jelas dikritik oleh Al-Quran :

 " Dan apabila dikatakan kepada mereka : Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada Rasul-Nya, mereka menjawab : Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati dari apa yang datuk nenek kerjakan. " (Al-Maidah  : 104)

Ketidakmahuan berfikir, kegagalan mengubah paradigma, dan selesa dengan taklid serta kefahaman 'ikut-ikutan' tidak akan membawa mahasiswa ke mana-mana. Lebih teruk, mahasiswa begini jika pulang kelak ke tanah air, lebih banyak mudarat yang dibawa berbanding manfaat yang dinanti-nantikan seluruh warga Malaysia.

* * *

Mana-mana pakar motivasi dan pembangunan manusia bersetuju di atas satu perkara :
Hasil yang baru, sama sekali tidak mungkin diperolehi, dengan hanya menggunakan kaedah yang lama.

Seruan anjakan paradigma serta meluaskan hati dan pandangan minda, bukan lagi satu seruan yang hanya sekadar manduub atau sunat sahaja. Ia merupakan kewajipan semasa, dan seharusnya difikirkan dan direnungkan oleh semua mahasiswa Malaysia di bumi Mesir ini, demi kemaslahatan bangsa, negara, dan agama.


1 comment:

Related Posts with Thumbnails