Irshad Manji & Salman Rushdie |
Pemerhatian terhadap Irshad Manji, jika dilanjutkan daripada kisah punca kemunculan Irshad dalam bentuknya sekarang yang telah saya sebutkan, akan membawa kepada beberapa idea utama yang cuba dipopularkan oleh Irshad. Kesemua idea-idea yang dibawa tidak sukar difahami kata kuncinya : pentafsiran baru terhadap ruang kebebasan dan ruang berfikir di dalam Islam, atau, liberalisme pemikiran dan kepercayaan.
Idea-idea sebegini tidaklah menghairankan jika datangnya daripada seseorang yang mengalami apa yang dialami oleh Irshad. Peribadi seperti ini wujud di mana-mana.
Liberalisasi dan keberanian bersuara yang dianjurkan oleh Irshad, katanya, demi mendepani sifat ekstrem dalam beragama :
"SIGN THE STATEMENT OF SECULAR VALUES
By adding your name and city, you'll be showing religious extremists that they can’t silence your voice or chill your conscience. Whatever your faith, or lack of it, signing this statement is an act of moral courage."
"Allah, Liberty and Love shows all of us how to reconcile faith and freedom in a world seething with repressive dogmas. Irshad Manji’s key teaching is “moral courage,” the willingness to speak up when everyone else wants to shut you up."Meskipun idea-idea ini disampaikan dengan rupa dan konotasi yang sepintas lalu tampak meyakinkan, sesiapa yang memahami gambaran dan struktur Islam yang lengkap, pasti dengan mudah mampu mengenalpasti pelbagai bentuk kenaifan dan kerapuhan di dalam idea-idea tersebut.
Secara ringkas, apa yang dicanangkan Irshad sebenarnya bukanlah membawa pemikiran orang-orang Islam kembali ke tengah, ke arah kesederhanaan, seperti yang disangka. Usaha naif Irshad ini pada hakikatnya membawa pengikut-pengikutnya kepada spektrum paling kiri di dalam masyarakat Islam.
Perkara yang sama sebenarnya terjadi kepada kebanyakan penyeru 'pembebasan' dan 'pencerahan' Islam daripada dogma masyarakat dunia. Seruan mereka ialah tindakbalas 'short-sighted' hasil daripada tekanan-tekanan persepsi yang dikenakan barat ke atas Islam, hingga istilah seperti 'ekstremis muslim' menjadi popular.
Kebaculan mereka mempertahankan bentuk Islam yang sejati, dan keinginan meluap mereka untuk diiktiraf dan 'dimesrai' oleh barat, menyebabkan mereka muncul dengan pemikiran yang sebegini rupa.
Keganasan permainan catur golongan barat pembenci Islam menyebabkan umat Islam hari ini terperosok ke spektrum paling kiri dalam memahami Islam (Islam moderat, Islam liberal - akal mereka mengatasi segalanya), dan juga ke spektrum paling kanan dalam menghayati Islam (golongan muslim yang gagal mengaitkan ilmu Islam dengan situasi - akal mereka gagal berfungsi sebaiknya).
Pembacaan terhadap sejarah Islam memaparkan kepada kita semua bahawa semenjak kedatangan risalah Islam, yang akan kekal dan berjaya mempesonakan dunia dengan keindahannya, serta membawa solusi hakiki menuju kebahagiaan, bukanlah mana-mana versi Islam tersebut. Bukan yang kiri, dan bukan yang kanan.
Mereka ialah kelompok yang sentiasa berada di sempadan pertengahan dan kesederhanaan Islam yang asli. Bahkan, sebenarnya, segala versi dan bentuk yang lain tersebut, tidak pernah dan tidak perlu bersentuhan dengan Islam pun.
Idea-idea kebebasan, keadilan, kemajuan, keserasian, keterbukaan, dan sebagainya, wujud di sisi mereka, tetapi semuanya tidak terkeluar daripada sempadan indah yang disusun oleh Allah dan Rasul-Nya. Jika idea-idea ini terlangkah setapak keluar daripada sempadan ini, maka ianya di sisi mereka tidak layak diiktiraf apatah lagi digunapakai, meski seluruh dunia bertempik menyuruh.
Kebebasan berfikir dan bersuara bagi mereka ialah ruang yang wujud bukan atas kehendak mereka, tetapi ia ialah suatu ruang yang dikurniakan oleh Yang Maha Mencipta. Oleh yang demikian, sejauh mana mahu mereka terbang dengan pemikiran mereka, akhirnya mereka faham dan akur bahawa ketundukan terhadap batasan yang diletakkan Allah, merupakan pengawal mereka daripada terbabas ke ruang yang sunyi tanpa oksigen untuk mereka bernafas lagi.
Cukup untuk kita perhatikan, bagaimana Saidina Umar r.a, seorang sahabat yang mempunyai daya fikir yang tajam, kuat, dan tepat, juga keberanian menyuarakan isi hatinya, tetapi di dalam urusan Islam yang asas dan asli, tidak malu tunduk dan akur kepada kawalan Allah dan Rasul-Nya.
Dan puluhan lagi kisah-kisah para sahabat Rasul s.a.w berusaha dan berijtihad, pada masa yang sama mereka amat berhati-hati jikalau apa yang difikirkan tidak selari secara keseluruhan dengan citarasa Islam yang ditentukan oleh Allah dan Rasul s.a.w.
(bersambung)
sama seperti penulis buku Red, White and Muslim, Asma Gull Hasan. nampak pada tulisannya yang ingin menunjukkan bahawa Islam itu mudah, menarik, terbuka, tapi hakikatnya membawa pembaca-pembaca lebih jauh dari itu.
ReplyDeletetidak pakai hijab? -tidak mengapa. ini soal furuk. yg patut diutamakan adalah soal akidah.
(sejak bila pula hijab boleh dipandang remeh? kalau dia saja tidak pakai hijab itu takpa, tapi bila kata macam tu dalam buku, seolah2 menggalakkan orang lain utk turut tidak runsing soal aurat.)
persoalannya-benar atau tidak apa yg diperjuangkan itu?
Bila nak sambung ni..
ReplyDeleteBila nak bersihkan habuk kat sini..
ReplyDelete