Malam itu suhu sedang-sedang. Angin bertiup sepoi bahasa. Saya berdiri seorang diri di tepi jalan menunggu teksi, mahu pulang ke rumah.
Baru seminit menanti, sebuah teksi sudi berhenti. Pemandunya berbadan besar berjambang lebat. Nampak ramah dan boleh diajak berbual.
Saya bermain-main bahasa, bertanya jadual hariannya sebagai pemandu teksi. Dia menjawab panjang lebar, meriah bercerita kisahnya sehari-harian mencari nafkah dengan memandu teksi.
Separuh perjalanan saya cuba-cuba buka bicara yang sedikit berat. Saya bertanya khabar Mesir. Teruk katanya. "Wehsy Awi!"
Saya tanyakan, apa yang teruk sangat?
Katanya, sudahlah negara sedang krisis, ada pula yang nak sangat bertanding presiden sampai bila tak dapat bertanding disuruh pengikut-pengikutnya bantah dan buat huru-hara.
"Sheikh Hazim?" soal saya.
"Sheikh? Apa Sheikh? Itu bukan Sheikh! Kalau betul nak berkhidmat kepada negara bukan meminta-minta cara macam ni!" jawabnya tegas. Saya separa terkejut. Memang sekarang ramai juga yang tak berapa senang hati melihatkan cara pengikut Sheikh Hazim bertindak, tapi pemandu teksi ini nampak marah benar.
"Baik, kalau begitu, siapa yang kau rasa paling afdhal sebagai presiden?" soal saya lagi.
"Amr Moussa!" jawabnya lantang, penuh yakin tanpa teragak-agak.
"Amr Moussa? Kau buang Mubarak, dan kau ambil lagi orang macam Mubarak? Dia kan 'foloul'(bekas rejim lama)?" tanya saya.
"Siapa kata dia macam Mubarak? Kau tahu, dia dulu Menteri Luar Negara, dia tahu berurusan dengan semua penjuru dunia. Kau tengok bila dia bercakap, dia ada 'khibrah'(pengalaman)! Kita kena tengok orang yang macam ini untuk pilih jadi presiden, betul tak?" jawabnya lagi.
Jawapan ini diulas-ulas lagi panjang lebar.
Saya sudah tidak berapa dengar hujah-hujah si pemandu teksi ini, saya tersenyap sendiri, mengelamun kehairanan. Ada juga rupanya orang macam ini ya?
* * *
Sebenarnya, kebetulan, pada malam yang sama, saya baru sahaja duduk berbual-bual dengan seorang penduduk Mesir.
Dia ceritakan kepada saya, betapa pada masa-masa begini, rupanya di dalam rakyat timbul pelbagai persoalan yang mengecewakan.
Katanya, seorang teman sepejabatnya pernah berkata kepadanya : "Ikhwan tak sepatutnya bertanding jawatan presiden. Sepatutnya jemaah Islam perlu zuhud, bukan meminta-minta posisi sebegitu."
Lalu dia tanyakan kepada saya, jika saya di tempat beliau, apa jawapan saya.
"Saya akan tanya semula kepada yang berkata begitu : apa zuhud yang kau maksudkan?" jawab saya sepintas lalu.
"Benar. Zuhud bukan ertinya tidak menawarkan diri memimpin kerana menjauhi dunia. Jika orang yang dikatakan zuhud ini tidak menawarkan diri, kita mahu siapa yang memimpin? Yang tidak zuhud? Yang bongkak dan sombong dengan kekayaan?" balas penduduk Mesir
tersebut, mengiyakan jawapan saya.
Saya kemudian menambah, "Mereka katakan yang ingin menjadi Presiden tidak zuhud, kerana mereka sangka siapa yang menjadi Presiden pasti akan kaya dan memiliki semua peluang keuntungan dalam negara. Hakikatnya seorang pemimpin itu khadam kepada rakyatnya."
"Benar. Kau ingat ini : semua orang biasa, rakyat awam, akan lebih mudah mengukur dengan apa yang ada di depan mata sahaja. Apa yang zahirnya memukau dan mempesonakan mereka. Jika tidak dididik menjadi rakyat yang tahu berfikir dengan prinsip, mereka begitulah semuanya." pesan penduduk Mesir itu kepada saya, mengakhiri perbualan politik kami yang tak seberapa.
* * *
Di zaman kita ini, menjadi pemimpin yang petah berpidato dan penuh karisma bukanlah susah mana. Seribu satu kursus di sana-sini mampu melatih pemimpin yang bijak mempengaruhi pengikutnya, dengan kepetahan, dengan karisma. Dan hari ini, di mana-mana pun negara, pemimpin sebegini sudah ramai bilangannya. Dengan pengikut dan penyokong yang melaut juga bilangannya. Mereka akhirnya diangkat menjadi pemimpin yang menentukan semua urusan kehidupan manusia di bawah pimpinannya.
Dan masalah dunia tidak juga berkurang mana. Yang di sana masih menghentam yang di sini, yang di sini masih memerangi yang di sana. Dari lapis atas hingga lapis bawah masyarakat, semuanya saling berkelahi atas kepentingan masing-masing.
Inilah yang terjadi jika rakyat tidak diajar menilai pemimpin dengan prinsip, dan memilih pemimpin dengan akal rasional, kritis, dan terbuka.
Perhatikan apa yang dikatakan oleh Saidina Abu Bakar r.a kepada Zaid bin Thabit, saat beliau diangkat memimpin projek khas negara Islam ketika itu; projek penulisan perlembagaan tertinggi umat Islam, Al-Quran Al-Karim.
Di dalam Sahih Al-Bukhari, berkata Saidina Abu Bakar r.a : "Engkau seorang lelaki pemuda, berakal (ada riwayat berkata : kami mengenali kau), dan kami tidak mempunyai sebarang tuduhan terhadap engkau (bersih reputasi dan rekod), dan engkau (punyai rekod) menjadi penulis wahyu di zaman Rasulullah s.a.w"
Saat saya mendengar kata-kata ini dipetik di dalam khutbah, khatib tersebut mengulas : Perkara paling asasi yang perlu kita perhatikan di sini ialah, bagaimana pemilihan ini dijalankan di atas prinsip yang jelas, dan betapa pentingnya calon yang ingin dilantik dikenali latar belakangnya seluruhnya, luar dan dalam, sebagai seorang yang mempunyai rekod kerja serta rekod peribadi yang baik dan bersih.
Dikenali luar dan dalam, bersih dan berprestasi. Ini noktah yang saya mahu sematkan di akal semua yang membaca.
Hakikat bahawa ramai sekali yang ingin memimpin hari ini, di Mesir, di Malaysia, mempunyai agenda dan perancangan tersendiri, adalah satu hakikat yang semakin hari semakin nyata.
Melihatkan hakikat ini, bolehkah dengan mudahnya kita memilih untuk mengikutinya, hanya dengan zahirnya yang penuh gemerlapan dengan karisma dan kata-kata yang mempesona?
Kerana ini Al-Banna, lebih kurang 80 tahun dahulu, menulis dalam risalahnya : "Tidak boleh tidak, kita perlukan suatu tempoh masa, untuk tersebarnya prinsip-prinsip Ikhwan (prinsip Islam sejati) dan prinsip ini menjadi arus perdana masyarakat, hingga masyarakat mampu memikirkan maslahat yang lebih besar berbanding maslahat-maslahat khas (agenda peribadi/kepentingan pihak tertentu)."
* * *
Malam itu saya tidak mudah melelapkan mata. Berfikir-fikir sendirian sambil berbaring, memicit-micit kepala.
Bagaimanalah masyarakat di Malaysia agaknya?
Berprinsip, atau melayan emosi dan karisma semudahnya?
Semoga Allah memenangkan yang benar, dan menjadikan yang benar sebagai pemimpin kita semua.
-----
Tajuk entri ini ialah peribahasa melayu yang bermaksud : Tahu keadaan sebenar hanya dengan melihat luarannya sahaja.
No comments:
Post a Comment