"It must be borne in mind that any reform should not ignore traditions, tenets, and fundamental principles" --Za'ba
July 10, 2011
Harapan baru
Usai Asar semalam menyaksikan dataran Suq Sayyarat di Hayy 'Ashir dibanjiri manusia yang menghadiri Muktamar Jamahir (Wacana Umum) ke-3 anjuran Hai'ah As-Syari'yyah Li Al-Huquq Wa Al-Islah, sebuah NGO baru di Mesir yang menghimpunkan barisan Ulama' yang akan mengkaji dan memberi cadangan ke arah perlaksanaan undang-undang Syariah di Mesir.
Meski secara umum diketahui yang menjadi teraju di dalam badan ini kebanyakannya dari golongan yang sebelum ini dikenali umum sebagai Salafi di Mesir, muktamar semalam menyaksikan juga beberapa tokoh dari aliran/gerakan lain, seperti Sheikh Dr. Abd. Sattar Fathallah, dari Ikhwan Muslimin.
Memang selepas 'thaurah' di Mesir saya akui ada perkara-perkara yang tak pernah dijangka ramai pihak berlaku. Contohnya, penerimaan golongan Salafi di Mesir kepada golongan-golongan Islamis lain. Jika sebelum ini golongan Salafi sering bersikap skeptik terhadap golongan Islamis selain mereka, malah di sesetengah ketika memberi kritikan tajam secara terbuka, kini mereka mula bersikap lebih terbuka dan menerima.
Golongan Salafi di Mesir meski tidak sepenuhnya serupa dengan Salafi di tempat lain, seperti di Saudi misalnya, sebelum berlaku 'thaurah' tetap mempunyai pendirian-pendirian yang saya kira agak keras dan 'pelik'. Malah seingat saya ketika di awal-awal 'thaurah' ada di kalangan tokohnya yang menyatakan sokongan kepada kerajaan. Saya pernah diberitahu, terdapat di kalangan tokoh mereka yang dahulu merupakan tali barut kepada kerajaan. Khabar ini boleh dilatari pelbagai sebab, tetapi jika ditanya respon pimpinan mereka berkaitan ini, mereka mengakui mereka mempunyai masalah mengawal kesatuan aliran pemahaman semua pengikut mereka.
Berkat 'thaurah', banyak parti politik baru muncul, dan aktiviti politik sihat di Mesir mula subur semula. Golongan Salafi yang saya kira selama ini sangat tidak cenderung kepada aktiviti politik dan parti politik, tidak ketinggalan menubuhkan pelbagai parti politik. Ya, pelbagai. Kerana sehingga kini setahu saya sudah 3 parti yang saya dengar sedang diasaskan oleh mereka; Hizb Nur, Hizb Fadhilah, dan Hizb Asolah.
Tidak salah dan tidak keterlaluan jika saya katakan, perubahan-perubahan pandangan yang berlaku di dalam golongan Salafi adalah kesan dari peranan dan qudwah yang ditunjukkan oleh Ikhwan Muslimin di dalam masyarakat. Keteraturan organisasi, kemantapan pimpinan, disiplin ahli dengan akhlak Islam, dan keberkesanan dakwah di dalam masyarakat yang tertonjol pada Ikhwan Muslimin telah membuka mata golongan-golongan Islamis yang lain. Malah dalam banyak kenyataan dari pihak Salafi sendiri kita akan dapati pengiktirafan mereka terhadap perkara ini.
Dan saya kira ini merupakan satu rahmat yang besar bagi umat Islam di Mesir. Sesetengah orang berkata Salafi meniru Ikhwan. Hakikat yang perlu kita fahami ialah kebenaran dan kesempurnaan Islam merupakan milik semua orang Islam, bukan hakcipta terpelihara yang dimiliki oleh mana-mana pihak secara persendirian. Malah sememangnya yang diharapkan ialah semakin ramai dan semakin banyak golongan yang meniru serta menerima kebenaran dan kesempurnaan tersebut.
Pertambahan titik persamaan yang wujud di dalam gerakan Islam, dan di dalam umat Islam sendiri, menjadi petanda yang jelas akan kemunculan satu atmosfera baru bagi umat Islam. Di tengah-tengah tiupan kencang angin liberalisme dan humanisme, kesatuan dan kesediaan semua golongan Islam untuk bersepakat di atas prinsip-prinsip Islam (yang sememangnya secara default sudah disepakati semua) adalah khabar gembira, dan khabar kemenangan.
Ketika melangkah pulang semalam, terdetik di hati saya, kita sudah mampu mengesat airmata yang selama ini mengalir melihatkan Islam dan Syariah dijarah dan diperlekeh.
Walau belum tentu bilakah masanya, setidaknya, kita sudah menyaksikan permulaannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tahniah dan terima kasih atas perkongsian.
ReplyDeletePandangan seperti ini perlu diketengahkan kpd masyarakat di bumi Malaysia. Mabruk akhi!
ReplyDelete