Maha suci Allah yang mengaturkan saya berpeluang hidup di bumi Mesir. Bumi Mesir yang tersendiri dan unik bagi saya, dari banyak sekali sudut. Baik masyarakat Mesir mahupun masyarakat pelajar Malaysia di Mesir, kedua-duanya bagi saya punyai ciri-ciri tersendiri.
Ada yang baik, dan ada yang buruk.
Alhamdulillah, akhirnya peluang ini memungkinkan saya melakukan sedikit cerapan peribadi. Setakat 2 tahun kehidupan di sini, saya akhirnya dikurniakan peluang mempelajari perkara yang besar dan penting, untuk kefahaman Islam saya, dan untuk kefahaman saya tentang hidup.
Budaya, Sistem, dan Keaslian.
Inilah antara perkara yang besar dan penting tersebut. Ketiga-tiga perkara ini dahulu, belum pernah saya sedari dan hayati peranannya dalam kehidupan seorang Muslim. Tetapi Mesir, dengan kelemahan dan kebaikan yang dipamerkannya dalam ketiga-tiga perkara ini, membuka mata dan minda. Elok saya ingatkan, bila saya menyebut Mesir, saya memaksudkan semua yang terdapat di Mesir, termasuklah pelajar dan rakan-rakan senegara saya di Mesir.
Secara jujur, saya memahami hakikat tentang budaya dan sistem daripada kelemahan kedua-dua perkara ini di Mesir. Manakala bagi keaslian, kelemahan dan juga kebaikan di Mesir yang mengajar saya.
Sebaiknya penulisan sebegini perlu diselit dan disulam dengan pelbagai contoh yang realistik supaya mudah difahami. Tetapi saya cenderung untuk menulis kefahaman besar dan umum daripada semua contoh yang ada. Rasanya begini lebih ringkas, dan lebih menghormati dan menghargai apa yang ada di Mesir.
* * * * *
Tak keterlaluan jika saya katakan, manusia dalam kehidupannya, baik siapa pun dia, akan sering kabur dalam 3 perkara tersebut. Tambah lagi jika dia tidak memiliki penguasaan ilmu syarak yang meyakinkan. Seringkali tanpa disedari dirinya, banyak perkara yang diamalkan dan dilakukan, menjadi kurang tepat mengikut ukuran Islam, walaupun benar pada sangkaan dirinya.
Adakalanya perkara tersebut tidak membawa kesan buruk yang segera, dan adakalanya ia membawa kesan buruk secara serta-merta. Di akhirnya mana-mana perkara yang kurang tepat dengan kehendak Islam memang akan membawa kepada kesan buruk.
Contohnya di Malaysia, menjadi budaya bagi kita melagukan takbir raya dengan penuh syahdu dan berlagu. Seluruh ceruk di Malaysia akan bernada serupa bila tiba 1 Syawal. Ia merupakan satu budaya, yang diamalkan semua. Apakah faktor budaya ini muncul? Mungkin kerana orang Melayu jiwanya lembut dan lebih mudah tersentuh dengan kalimah Tauhid jika takbir dilagukan. Zaman demi zaman budaya ini diamalkan dan diikuti seluruh orang Islam di Malaysia.
Hakikat penting yang perlu diingat, meskipun ia diamalkan sekian lama, oleh sekian ramai imam, ia kekal sebagai hanya sejenis budaya, kerana sunnah Nabi dalam hal ini tidak pernah diikat dengan hukum ia perlu dilagukan. Bayangkan jika satu masa nanti, Malaysia menjadi medan jihad menentang musuh, adakah takbir syawal berlagu sendu ini sesuai? Ketika itu budaya ini dituntut untuk berubah, sesuai dengan perubahan keadaan.
Itu tentang budaya.
Juga contohnya di Malaysia, kita akan dapati terdapat sistem pengutipan zakat secara berinstitusi. Kutipan dan pengagihan mempunyai sistem sendiri dan dijalankan oleh badan-badan tertentu, dengan peraturan tertentu. Mengapa perlu begini? Salah satunya demi memudahkan dan melicinkan urusan zakat tersebut.
Meskipun sistem ini berjalan dengan baik, dan penguatkuasaannya ditegaskan serta dipantau, ia kekal sebagai sejenis sistem bantuan, untuk memudahkan perlaksanaan. Di dalam Islam secara nasnya, sistem ini tidak termaktub sebegitu terperinci, malah seorang mukallaf sudah dikira selesai zakat fitrahnya jika dia pergi kepada seorang fakir miskin dan menyerahkan kadar yang sepatutnya.
Jika satu masa sistem zakat berinstitusi ini dinilai tidak membantu malah banyak menimbulkan masalah, adakah ia perlu juga dikekalkan sedemikian rupa? Ketika itu sistem ini dituntut untuk dirujuk semula, dan jika perlu, diganti dengan sistem yang lebih baik.
Itu pula tentang sistem.
Apa yang sering terjadi kepada manusia, setelah lama hidup dengan budaya atau sistem tertentu (faktor hidup di tempat tertentu memang kuat, contohnya hidup di Mesir), ia disalah sangka sebagai perkara yang asal. Ia dianggap sebagai satu keaslian yang perlu dipegang dan dipertahankan, seperti perkara-perkara asal lain yang jelas. Sebab yang sering digunakan sebagai jawapan ialah; "Sekian lama ia membawa maslahat kepada kita, tentulah ia perlu kekal sedemikian rupa. Bukan maslahat perlu dipelihara?".
Lalu budaya atau sistem tersebut, di sisinya, menjadi satu keaslian, atau perkara yang usul. Dia tidak lagi mengambil kira sebarang perubahan situasi dan keadaan, dan dia tidak sudi mengkaji semula. Ia dipertahankan di sisinya, seperti perkara lain yang menjadi usul di dalam agama.
* * * * *
Apa yang saya coretkan bukan sekadar berlaku di tempat/peringkat tertentu, ia boleh terjadi di mana-mana sahaja ruang kehidupan seorang manusia. Dalam kehidupan peribadi, hidup berkeluarga, hidup bermasyarakat, hidup berorganisasi, hidup berjamaah, dan sebagainya.
Bagi seorang muslim, di mana sahaja ruang hidupnya, menepati syarak jauh lebih penting daripada menepati budaya dan sistem bantuan. Keaslian yang benar ialah keaslian Islam, bukanlah keaslian sangkaan yang terbina daripada budaya dan sistem bantuan.
Dia perlu sedar, dia harus bergerak di atas landasan yang benar dalam memahami keaslian agama, dalam memahami perkara yang thabit (tetap), dan perkara yang mutaghayyir (berubah-ubah) di dalam agama.
Akhirnya, semua ini menuntut beberapa perkara :
- Mampu mengenalpasti apakah yang hanya sekadar budaya, apakah yang hanya sekadar sistem bantuan, dan apakah keaslian syarak di dalam satu-satu perkara.
- Memiliki kefahaman dan penguasaan ilmu-ilmu syariah dan ilmu-ilmu Islam, kerana itulah pemandu bagi menentukan apa yang asli di dalam agama, dan apa yang tertakluk kepada perubahan.
Saya sertakan beberapa kata-kata ulama' yang penting, bagi melihat hakikat 3 perkara ini dengan selayaknya. Semoga kita dikurniakan kefahaman Islam yang sebenar, dan ketepatan dalam melakukan tindakan dan beramal.
Ibnu Daqiq Al-'Eid : "Aku tidak mengingkari siapa yang mengiktibar maslahat sebagai usul (agama), tetapi huraian, perbincangan, dan pengesahannya (sebagai usul) perlukan kepada penilaian yang tepat"
- Irsyad Al-Fuhul (m/s 226)
Ibnul Qayyim : "Perkara ini (perubahan fatwa mengikut zaman/suasana/situasi/dll) perkara yang besar, dan amat bermanfaat. Seseorang sering melakukan kesilapan besar - sebab kejahilannya - terhadap syariah. Dia mewajibkan sesuatu yang menyusahkan dan menyulitkan, dan menuntut perkara yang tak dituntut. Sedang dia tidak tahu bahawa syariah dengan segala keluasannya tidak pernah menuntut sedemikian rupa."
- I'laam Al-Muwaqi'in (jilid 3, m/s 14-15)
:)
ReplyDelete