May 30, 2010

Menulis Cara Baru.


Jika anda berpeluang mendalami atau mempelajari 'kitab turath ', atau teks klasik bagi ilmu-ilmu agama Islam, anda akan kerap bertemu dengan perkataan-perkatan ini :

  1. Matan : Merupakan rumus / ringkasan bagi idea dan kerangka penulisan seseorang ulama' untuk sesuatu tajuk / bidang ilmu.
  2. Syarah : Merupakan penjelasan dan huraian bagi idea asas dan rumus yang terdapat di dalam 'matan'. Juga banyak menjelaskan perkataan yang kabur definisinya.
  3. Hasyiah : Merupakan nota kaki / tambahan maklumat / rujukan bagi huraian di dalam 'syarah'.

    Pada permulaan anda melalui sistem pembacaan dan pengajaran menggunakan kitab ini anda pasti akan merungut kebosanan serta mengeluh mengatakan sistem ini kuno, dan ketinggalan zaman.

    Hakikatnya, saya sendiri, setelah beberapa masa (cuba) mendalami seni penulisan ini, mendapati bahawa ianya merupakan sistem penulisan ilmiah yang paling tersusun dan tidak meleret.

    Orang-orang di barat mengambil masa yang lama untuk menjumpai sistem penulisan sebegini, sebelum mereka mula memperkenalkan 'reference', 'footnote', dan sebagainya.

    * * *
    Kesan daripada keseronokan saya memahami kecanggihan sistem penulisan ini, dan selepas sedikit perbincangan dengan rakan saya Rdhanz, saya mula meneroka cara ini melalui blog saya.

    Entri utama merupakan matan, komen-komen anda bakal menjadi syarah, dan komen saya / orang lain ke atas komen anda ialah hasyiahnya.

    InsyaAllah, jika berjaya, saya tidak teragak untuk mematerialisasikannya dalam bentuk percetakan.

    Semoga bermanfaat, selamat beramal.

    3 comments:

    1. Teringat saya ketika berbual dengan seorang profesor kejuruteraan dari Indonesia yang memuji sistem penulisan Islam berbanding sistem penulisan tesis moden di universiti-universiti.

      Sistem penulisan Islam menghormati penulis dan tulisannya dengan mengekalkan tulisan penulis asal (matan) kemudian ditambah atau diberikan ulasan (syarah) pada tulisan tersebut. Maka pembaca dapat membezakan dengan mudah kata-kata tersebut milik siapa; penulis matan atau penulis syarah.

      Sistem penulisan tesis moden pula berdiri dengan satu (atau lebih) teori penulis, kemudian dibawakan pendapat-pendapat yang bersepakat dengan pendapatnya atau pendapat-pendapat yang bercanggah dengannya dan didatangkan dengan hujah-hujah yang mempertahankan teori penulis tersebut.

      Betulkan saya jika saya salah.

      Sekadar berkongsi pendapat.

      ReplyDelete
    2. Terima kasih prof RdhanZ.
      Menarik.

      ReplyDelete
    3. Saya mula berpendapat, sistem penulisan Islam mengukuhkan disiplin ilmu. Manakala sistem penulisan tesis moden mengetengahkan penyelesaian masalah dan idea baru. Kedua-duanya ada peranan masing-masing.

      (I'm a processor, not a professor. Hehe.)

      ReplyDelete

    Related Posts with Thumbnails