November 25, 2009

Praktik Luar Kotak



Kata Rasulullah s.a.w :
“Allah mengelokkan rupa seseorang yang mendengar dari kami satu hadith, lalu dia mengamalkan seperti apa yang didengarinya.”

* * * * *

Hari itu seperti biasa saya ke kuliah. Meredah angin menggigit yang bertiup di awal musim sejuk,sungguhpun matahari tegak di atas kepala.

Hari itu juga saya tergerak untuk terus ke dewan kuliah pelajar-pelajar Syariah Islamiah dari Mesir. Kebiasaannya saya akan singgah terlebih dahulu ke dewan kuliah pelajar asing,sebelum masuk ke dewan kuliah pelajar Mesir. Tahun ini,pelajar Mesir dan pelajar dari negara-negara selain Mesir ditempatkan di dewan kuliah yang berasingan.

Di kerusi bahagian tengah kelihatan seorang pelajar Mesir sedang rancak berbual dengan seorang pelajar Mesir yang lain. Seorang seolah-olah sedang menerangkan sesuatu,dan seorang lagi tampak serius mendengar.

Saya mengambil tempat duduk sebaris di belakang mereka. Mereka terus berbual rancak tanpa menyedari kehadiran saya.

Selang beberapa minit,pelajar Mesir yang rancak menerangkan tadi berpaling ke arah saya. Dia menyapa,memberi salam. Saya jawab salamnya diiring pertanyaan ringkas biasa di Mesir :

Izayyak?

Alhamdulillah,kuwais,tamaam.

Dia memperkenalkan dirinya, dan saya memperkenalkan diri saya.

Sekeping kertas dihulurkan kepada saya. Semacam satu borang kaji selidik. Dia minta saya sedikit masa, untuk dia menerangkan apa yang terkandung dalam kaji selidik tersebut. Saya mempersilakan.

Dalam masa hampir 10 minit dia menerangkan dengan penuh bersemangat. Katanya, dia mewakili satu kumpulan pelajar bernama “Jiil An-Nasr Al-Mansyud”, ingin melaksanakan pelbagai khidmat bakti kepada pelajar-pelajar baru, dan juga kepada universiti.

Soalan yang paling mengesankan hati saya :
“Pada pandangan anda, projek yang manakah yang lebih anda sukai? ‘Projek Kebersihan Universiti’ atau ‘Projek Penyediaan Pengangkutan Untuk Mahasiswa’?”

Mengapa?

Kebetulan malam itu saya sempat bersama dengan beberapa orang rakan dalam satu diskusi. Antara yang kami diskusikan pada malam itu ialah sebuah hadis Rasulullah : “Setiap sendi manusia wajib bersedekah pada setiap hari; kamu berlaku adil terhadap dua orang yang berkelahi adalah sedekah, kamu menolong lelaki menaiki tunggangannya atau kamu menolong mengangkatkan barang-barangnya ke atas tunggangannya adalah sedekah, setiap kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan untuk solat adalah sedekah, dan kamu membuang sesuatu yang menyakiti di jalanan juga adalah sedekah.

Saya tersentak seketika saat kami membincangkan hadis ini. Kepada semua rakan-rakan diskusi saya, saya sampaikan kisah pertemuan saya dengan pelajar Mesir yang ingin berkhidmat bakti, semasa di kuliah.

Kagum seketika mendengarkan kisah saya. Kagum bagaimana mereka berfikir sebegitu untuk mengamalkan hadis yang mungkin juga mereka sama-sama diskusikan sesama mereka. Dan terfikir-fikir mengapa sering kita berbincang tentang hadis Rasulullah dalam diskusi-diskusi kita, tapi tidak sering terfikir hingga untuk melaksanakan projek demi merealisasikan galakan-galakan Rasul di dalam hadis.

Perkara yang mudah Rasulullah sarankan dalam hadis baginda. Menolong orang dengan tunggangan mereka (pengangkutan), dan membuang benda-benda yang menyakitkan di jalanan (sampah dan sebagainya). Dengan iman dan rasa semangat untuk mempraktikkan saranan Rasulullah, kumpulan pelajar Mesir ini mampu berfikir sehingga ke tahap melaksanakan satu projek di peringkat nasional, untuk kebaikan semua komuniti pelajar.

Subhanallah.

Bayangkan sekiranya perkara yang sama berlaku di semua peringkat, dari yang paling bawah hinggalah ke peringkat yang paling atas, negara, dan dunia, maka tentulah tidak pelik jika kita dapati negara-negara Islam adalah negara yang mempunyai sistem kebajikan yang paling efisien dan tahap kebersihan yang paling memberangsangkan.

Kami pulang malam itu dengan kesedaran di dalam hati : Hadis-hadis ar-Rasul bukan semata menjadi bahan ilmiah perbincangan atau bahan perencah dalam penyampaian, apatah lagi menjadi dalil menjatuhkan sesama Islam. Hadis-hadis Ar-Rasul adalah khazanah dan panduan yang mampu membawa masyarakat Islam ke satu tahap yang amat cemerlang. Dengan satu syarat : Ia diamalkan sepenuh hati dan kudrat.

4 comments:

  1. simple message (hadis Ar-Rasul), dengan sepenuh hati dan kudrat, berjaya diterjemahkan menjadi projek2 yang efektif.

    kesimpulannya apa yang nta jawab?pengangkutan atau kebersihan? hehe.

    ReplyDelete
  2. Menarik cara dia promosi.. skill dakwah yg patut dicontohi.

    ReplyDelete
  3. ana pilih dua-dua..hehe.

    Dari rumah ana ke kuliah at least 45 minit.Padahal tak sampai 25km.

    ReplyDelete
  4. sudah tukar template baru.. bagus

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails