November 30, 2009

Perpecahan Melayu Merugikan Islam

KAHERAH - Faktor ‘asabiyyah’ sememangnya merupakan faktor yang penting dan perlu diambil kira dalam membicarakan soal kepimpinan dan masa depan Islam dalam sesebuah negara dan pemerintahan. Bangsa yang merupakan majoriti di dalam sesebuah negara Islam perlu menggalas tanggungjawab memimpin kebangkitan dan kemajuan umat Islam di dalam negara tersebut.

Demikian ulasan Sahibus Samahah Dato’ Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan, dalam satu sesi ramah mesra bersama pelajar-pelajar Wilayah Persekutuan di Dewan Sri Putra, Rumah Wilayah Persekutuan, semalam.
Sesi yang berlangsung selama 2 jam itu ternyata memberi peluang kepada para pelajar Pengajian Islam dan Perubatan di Mesir mendengar beberapa perkongsian daripada beliau.

Menjawab soalan berkaitan peranan bangsa Melayu di dalam mengembalikan kemuliaan umat Islam di tanah air, beliau memetik pendapat Ibnu Khaldun di dalam bukunya ‘Al-Muqaddimah’ berkaitan peranan kepimpinan bangsa majoriti atau bangsa tonggak dalam memahami hadis Rasulullah s.a.w : “Kepimpinan itu bersama orang Quraisy”. Pandangan Ibnu Khaldun dalam memahami maksud dan 'illah yang terkandung di dalam hadis ini merupakan pandangan yang paling tepat dan paling sesuai untuk dijadikan panduan dalam isu pemeliharaan survival umat Islam di sesebuah negara, menurut beliau.

Mengakui bahawa bangsa Melayu di tanah air kini menghadapi beberapa cabaran utama, khususnya perpecahan, beliau berkata; “Isu perpecahan bangsa Melayu di tanah air kita yang disebabkan oleh fahaman politik semata-mata merupakan satu perkara yang sangat kita bimbangkan. Kita melihat di dalam sejarah apa yang berlaku kepada puak Syiah sehingga ke hari ini berpunca daripada perpecahan yang disebabkan fahaman politik. Bangsa Melayu yang 55% jumlahnya di Malaysia kini jika berpecah paling tidak kepada 2 kelompok sudah menjadikan nasib Islam berisiko tinggi.”

Menurut beliau lagi, dalam hal ini, bangsa Melayu harus sedar akan kenyataan ini dan bersedia untuk berkorban perasaan demi mewujudkan kesatuan dan kekuatan umat Islam di tanah air. “Abdullah bin Mas’ud pun pernah berkata bahawa ‘apa yang kamu benci di dalam kesatuan dan ketaatan lebih baik dari apa yang kamu sukai di dalam perpecahan’, dan perkara ini Saidina Hasan sendiri membuktikannya apabila beliau rela menyerahkan tampuk khilafah melihatkan pengaruh Muawiyah kepada majoriti umat Islam”, tambah beliau lagi.

Beliau menegaskan bahawa pada masa yang genting ini semua pihak perlu meletakkan kepentingan ummah dan masa depan Islam mengatasi segala kepentingan lain.

3 comments:

  1. ulasan beliau mcm sama dgn ulasan ust Lah je..
    penah ada prbincangan bersama beliau ke abg syed?

    salam ziarah dr nusantara..
    kullu am waantum bikhair :)

    ReplyDelete
  2. pendapat saya..time ada khalifah kena patuh..tp selagi belum ada..kt boleh berbeza-beza dgn manhaj masing2..hinggalah kita dapat khilafah..

    ReplyDelete
  3. http://pinkturtle2.blogspot.com/2009/02/mufti-wilayah-ahli-umno-no-937786.html

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails