Juga seperti kebiasaan, keluarga saya akan menghabiskan hari pertama Syawal di Tampin, kampung moyang saya. Semua anak-anak, cucu-cucu, dan cicit-cicit, berkumpul. Rumah kampung zaman pra-merdeka dengan halaman luas dan pohon-pohon buahan redup mengelilingi, sememangnya tempat yang menarik untuk perkumpulan keluarga.
Dan dalam redup petang 1 Syawal di Tampin ini, berteman angin sepoi-sepoi bahasa dan suara anak-anak kecil sekali sekala riuh menemani, saya termenung sendiri. Apa agaknya suasana rakan-rakan saya di perantauan. Agak saya tentulah masing-masing terkenangkan dua perkara yang paling utama : kampung halaman, dan keluarga tercinta. Kemudiannya barulah mungkin terkenangkan dodol dan ketupat daun palas, barangkali.
Dari situ, saya terfikir sendiri. Kenapa dua perkara ini yang sering bermain di minda tika kita menyambut Aidilfitri?
Rasa saya bukan yang di seberang benua sahaja yang terkenangkan. Sesiapa sahaja yang menyambut Aidilfitri bersama masyarakat di Malaysia, pasti, terkenangkan dua perkara yang sama. Di mana-mana terpamer buktinya.
Diskaun 'balik kampung' untuk tol-tol di lebuhraya hanya ada saat Aidilfitri menjelma.
Lagu-lagu raya yang klasik dan 'evergreen' di Malaysia semuanya berunsurkan 'cinta kepada ayah ibu' dan 'kenangan desa halaman' (hanya lagu-lagu artis baru yang hanya tahu terkinja-kinja mulai pagi raya sudah tiada unsur ini).
Satu hari di Hari Raya
Ku lihat wajah suci ibuku
Ku lihat wajah kasih ayahku
Ku gembira
Mungkin inilah dia kebahagiaan
Filem-filem juga iklan-iklan yang bertemakan Aidilfitri pasti menyelitkan elemen kasih dan simpati pada orang tua, dan juga beberapa lagi nilai-nilai sentimental.
Kebanyakan kubur-kubur ibubapa yang sudah meninggal juga hanya tertebas lalangnya di pagi raya.
Hatta, irama takbir raya orang Melayu (satu-satunya seumpamanya di dunia) juga bernada syahdu dan menyentuh jiwa.
Semuanya bernilai sentimental di Aidilfitri.
Semakin jauh saya renungkan, saya fikir bahawa perkara ini wajar diberi satu penilaian. Apakah sebenarnya yang boleh saya takwilkan dari pemerhatian saya terhadap budaya Aidilfitri di Malaysia ini.
Teringat saya dengan pelbagai komen dan pendapat dari para ustaz-ustaz tentang budaya ini.
Saya ingat ada ustaz yang mengatakan, takbir syahdu ala melayu ini bukan yang diamalkan Rasulullah. Dan jika benar-benar dilihat dari sudut Fiqh (fiqh klasik mungkin) banyak sekali budaya Aidilfitri orang melayu yang tidak tersenarai dalam perkara-perkara wajib, malah sunat sekalipun, yang perlu dilakukan pada 1 Syawal.
Saya ingat juga ada ustaz yang berkata, sepanjang Sirah nabi s.a.w, tidak pernah pula nabi menganjurkan pulang ke kampung halaman pada hari raya atau pergi ziarah menziarahi saudara dan pusara orang tua secara khusus pada hari raya.
Ulasan-ulasan dari sudut Fiqh dan Sirah kata mereka. Dan kebanyakan mereka rasa saya tak ketinggalan juga balik kampung beraya dan menziarahi pusara.
Hm, saya berfikir-fikir lagi.
Saya teringat apa yang saya pernah pelajari dulu. Tentang 'Uruf. Tentang adat. Tentang budaya masyarakat yang baik.
Yang saya ingat, apa sahaja budaya masyarakat yang baik, dan tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah, Islam sungguh meraikan. Islam datang kepada suatu kaum bukan untuk meruntuhkan budaya malah membina sesuatu yang lebih baik daripada budaya yang sedia ada.
Kata seorang murabbi saya dahulu : budaya masyarakat melayu di Malaysia ialah budaya kekeluargaan. Budaya ini juga antara titik persamaan semua rumpun bangsa di Asia Tenggara. Mungkin kalau dikaji sejarah, budaya ini antara budaya yang paling lama diamalkan di tanah melayu ini, sebelum datangnya Islam lagi.
Islam hadir ke tanah melayu ini dan mengajarkan hari raya Aidilfitri pada 1 Syawal. Orang melayu yang sudah kuat berpegang kepada budaya kekeluargaan, menjadikan sambutan hari raya ini lebih 'lokal' dan dekat dengan jiwa mereka dengan berkumpul dan bersama dengan ahli keluarga, selain dari bertakbir dan bertahmid seperti yang Islam anjurkan.
Saya merenung ke luar jendela. Saya lihat saudara-saudara saya berbual mesra. Semuanya hanya saya berpeluang untuk berjumpa setahun sekali. Saya lihat ke ruang tamu. Pakcik dan makcik saya saling bertukar khabar dan saling melawat moyang saya yang sakit. Semuanya hanya pulang ke situ setahun sekali. Saya terdengar suara riuh anak-anak kampung berjalan bersama dari rumah ke rumah jiran-jiran. Suasana ini hanya saya lihat setahun sekali.
Saat itu, saya bersyukur, bangsa Melayu punya adat yang sungguh bermakna, yang jika tidak melanggar syarak dan ikhlas, menambah pula pahala mereka di hari mulia, hari raya.
Semoga bangsa melayu kembali sedar dan menghargai betapa besar dan bermaknanya warisan budaya yang mereka miliki, dan kembali menyandarkan semuanya pada Islam.
agak sentimental..
ReplyDeletekdg2 org anggp budya kita sesat..
time raya....danial..ni kawan mama masa zaman sekolah2 dulu..gi salam dia...itu uruf juga.?
ReplyDeleteDaniel : Gaya org bandar tu. Uruf dan adat yg diterima Islam ialah yang baik dan syarie. Yg bukan,kita cuba betulkan.
ReplyDeletesoccer jerseys, longchamp, abercrombie and fitch, reebok shoes, ferragamo shoes, herve leger, nike huarache, soccer shoes, mont blanc pens, new balance outlet, north face outlet, ugg soldes, ugg outlet, giuseppe zanotti, wedding dresses, babyliss pro, celine handbags, ghd, instyler ionic styler, barbour, mcm handbags, marc jacobs outlet, hollister, nike trainers, lululemon outlet, beats headphones, mac cosmetics, uggs on sale, roshe run, valentino shoes, vans outlet, chi flat iron, p90x workout, jimmy choo shoes, abercrombie and fitch, birkin bag, uggs outlet, insanity workout, asics shoes, ugg, rolex watches, north face jackets, nfl jerseys, nike roshe, bottega veneta
ReplyDelete