August 18, 2008

Matang di Permatang.

Cerita I

Sepanjang-panjang lebuhraya PLUS, beberapa kilometer dari susur keluar ke Penanti, kenderaan berbagai jenis berderet-deret beratur. Kedua-dua belah jalan sebenarnya sudah penuh dengan kenderaan yang sudah diletakkan dan kenderaan yang masih tersekat dalam kesesakan. Entah berapa ramai manusia yang sudah melintasi divider lebuhraya pada hari itu.
Pakcik-pakcik separuh abad berpimpinan tangan dengan cucu-cucu belum mumayiz. Ada juga makcik-makcik bertudung labuh berjalan rapat-rapat. Lebih-lebih lagi orang-orang muda. Datang bergerombolan dengan t-shirt sedondon. Lambang bulan ada, mata biru ada, lambang dacing pun ada. Berjalan ramai-ramai sambil mendabik dada yang terpampang wajah pemimpin tercinta. Semangat gila orang muda. Inilah.

Langit hari itu kosong dari awan. Mudah sahaja melihat dua-tiga helikopter milik PDRM berlegar-legar makan angin di atas sana.

Seawal jam 7.00 pagi manusia sudah mula membanjiri Permatang Pauh. Dari segenap penjuru negara,hari itu Permatang Pauh jadi tumpuan utama. Manusia dari seluruh lapisan hadir, dengan motif yang pelbagai sudah tentu. Yang penuh amarah politik di dada sudah lama menanti saat ini. Tak sabar ingin menghambur kata-kata provokasi berbaur makian kalau boleh. Yang suka jadi pemerhati tak sabar melihat riuh rendah mulut-mulut berbalah. Kalau ada pukul belasah lagi seronok. Dan yang berminda niaga, ahah, hari itu untung biasa bakal berlipat ganda.

Tapak Institusi Perguruan Tengku Bainun memang besar. Sebuah astaka diapit padang seluas dua padang bola tampil gah di tengah-tengah. Di tengah-tengah astaka, kain rentang putih bertulis maklumat peristiwa hari itu memenuhi. Di belakang astaka, tempat letak kereta luas dipenuhi khemah-khemah khas untuk para pemimpin negara berehat santai sambil menjamu selera juga bergelak ketawa. Keseluruhan tapak ini, bahkan susur masuk ke tapak ini, sudah pun menjadi lautan manusia. Hanya sebidang tanah betul-betul di hadapan astaka dibiar kosong untuk pihak berkuasa. Sesak, memang sesak. Di mana-mana ada manusia. Dalam longkang,balik tembok,atas pokok,bilang sahaja,semuanya dipenuhi manusia.


Kata mereka :

Berhimpit-himpit pun tak mengapa,kita peluh sama-sama,kita lawan sama-sama,kita laung sama-sama,kita setia sama-sama,kita sokong sama-sama,kita serah seluruh kudrat kita hari ini!
Demi angin perubahan yang menderu, dan laluan ke Putrajaya yang bakal menanti!


Cerita 2

Saya sendiri tidak menyangka sebegitu sesak kenderaan. Tersangkut dalam kesesakan hampir 45 minit,walhal jaraknya tak sampai 5 km. Aduh, buang masa.
Tiada niat pun sebenarnya untuk datang ke Permatang Pauh hari itu. Tapi sudah ikut menumpang kereta,terpaksa jugalah. Diminta pula untuk mengambil gambar suasana hari itu. Saya tak mampu menolak.

Dengan beg kamera tersandang di bahu dan kamera berlensa 75-300mm,saya mengembara di tengah lautan manusia hari itu. Saya niatkan moga seharian di Permatang bakal menjernihkan lagi kematangan saya memahami erti sebenar faktor tarbiyyah dalam mengembalikan kewarasan umat.

Di sepanjang jalan masuk ke tapak institusi, saya lihat manusia beratur panjang-panjang. Tangan bersilang membina benteng. Di tengah-tengah benteng manusia itu laluan. Untuk sesiapa sahaja yang ingin melalui jalan itu perlu menempuh laluan yang diapit benteng manusia itu. Bila parti mereka yang lalu,laungan sorakan kedengaran. Dan bila parti lawan yang lalu, kata-kata maki caci kutuk berhamburan,disisipkan dengan ludahan dua-tiga. Tak kurang juga yang disepak terajang juga diraba.
Di luar pagar institusi,kumpulan biru dan hijau. Dalam pagar, kedua parti bertembung. Yang satu menayang-nayang punggung,dibalas yang satu lagi dengan kutuk maki. Yang satu menjelir-jelir lidah,dibalas yang satu lagi dengan lambaian tangan bersimbol lucah. Yang satu diberi topi dan air minuman, yang satu lagi menyarung kopiah identiti dan topeng muka pemimpin sanjungan.


Entah berapa ramai yang berdosa percuma hari itu saya sendiri tidak mahu tahu.


Moral Cerita

Peristiwa ini mungkin akan menjadi salah satu titik penting dalam sejarah negara kita. Noktah mustahak dalam sejarah perjuangan penegakan keadilan di negara kita. Setidaknya itu yang kita lihat sekarang.
Jika peristiwa sepenting ini-jika benar ia penting- berlangsung dan semua yang terlibat masih lagi berakhlak mazmumah dan tidak hiraukan dosa,apakah tandanya?

Allah jadikan turun naik sesuatu bangsa sebagai satu sunnatullah. Allah pergilirkan waktu penguasaan antara umat-umat. Jika sekarang yang berkuasa si Zalim, akan datang ia akan tumbang, dan si Adil akan naik pula. Benar, ini sunnatullah dari dahulu lagi.
Tapi kita juga belajar dari sejarah. Kita memahami semua yang terjadi kerana sebab-sebab tertentu. Ada sebab, dan ada musabab.

Begitu juga kebangkitan umat Islam. Jika tiada sebab yang melayakkan,dan masih banyak sebab penghalang, Allah sama sekali tidak akan membenarkan.


Makanya, hari itu, dari tahu saya jadi faham. Saya faham prioriti tarbiyyah ummah dari yang lain dalam menegakkan Islam. Saya faham, kuantiti sungguhpun besar dan memang mengagumkan, selamanya sia-sia, bila yang Allah mahu, selamanya, ialah kualiti.

2 comments:

Related Posts with Thumbnails