April 13, 2008

AlhaanalQalb.

Entah apa agaknya perasaan Bilal bila beliau melafazkan bait-bait syair :

“Kalaulah aku mengetahui
Apakah aku berkesempatan
Untuk bermalam di lembah Makkah
Di sebelahku Izkhir dan Jaliil
Apakah pasti suatu hari
Ku berminum dari air Mijannah
Apakah pasti aku dapat
Melihat Shamah dan Tufail”


Juga apa agaknya perasaan Rasulullah s.a.w yang mendengar syair Bilal, lalu melantunkan doa baginda :

“Ya Allah Ya Tuhanku perkenankanlah cinta kami kepada Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau lebih darinya,”

******

Entah apa perasaan Bilal dan Rasulullah. Terkenang-kenangkan Makkah di Madinah. Terkenang-kenangkan tempat mereka pernah menderita terseksa terhimpit pedih, di tempat mereka diterima dihormati malah dimuliakan.

Kalau kita rajin baca buku Sirah, apa yang Bilal sebut, dan balasan doa Rasulullah, berlaku tidaklah lama sangat selepas mereka tiba di Madinah. Baru lagi. Dan Bilal serta Abu Bakr ditimpa demam pada waktu itu.

Entah apa perasaan mereka. Yang saya pasti, begitu sekali kuatnya perasaan dan nostalgia yang bergelora dalam hati mereka kepada tanah tempat mereka pernah bersama merasai manisnya derita dan indahnya sabar.

Begitu sekali nostalgia mereka. Hatta Madinah tidak mampu menandingi kenangan dan nostalgia mahal Makkah.

Ini sudut jiwa manusia, yang ternyata sangat fitrah. Ternyata ini sikap dan sifat manusia.

*****

Maha Besar Tuhan, saya Dia kurniakan perasaan yang sama.

Bukan mengenang apa, hanya terimbau nostalgia dan memori tanah asal saya mengenal nilai Islam yang mulia dan belajar berjinak hidup susah ala mujahid-mujahid dakwah. Itu sangat manis dan tak terkalahkan oleh apa pun, dan oleh mana pun tempat. Tempat bermula.

Mungkin apabila saya terus melangkah dalam kembara saya akan datang, pasti saya akan mampir pada tempat-tempat yang juga bakal memberi pelajaran kepada saya.

Namun, nostalgia tempat bermula tetap yang paling berharga.

Maka itu, sekali sekala sempat mencuri-curi peluang dan masa berziarah ke bumi itu, sangat mengubat kerinduan.

Pada kenangan muka buminya yang pernah menyaksikan saya ditarbiyyah.

Pada memori murabbi-murabbinya, yang pernah secara khusus menunjukkan saya makna perjalanan, juga yang membekalkan saya ilmu-ilmu lainnya, yang tetap berguna.

Pada kesejukan hati melihatkan suasana dan penghuni-penghuninya, yang saban hari semakin bergejolak cahaya kesediaan menerima tarbiyyah di jiwa mereka, yang semakin hari semakin gembira menjadi remaja Muslim yang bekerja.

Aduh, kamu semua, sungguh, iman saya bertambah melihatkan kamu semua!

Jika Bilal terpaksa meluahkan dalam syair demi menenangkan jiwanya, maka saya tidak mempunyai yang lebih baik dari coretan doa.

Moga-moga ia memberi ubat pada rindu saya, dan memberi semangat pada penghuninya untuk terus memelihara kesuburannya.

Wahai Tuhan, sesungguhnya memang di dalam hati ini, Engkau sahajalah yang paling mengetahui apa yang tersimpan. Aduh, hati yang sedang menyimpan ini, hanya Engkau sahajalah yang mampu menenangkannya.

Ya Allah Al-‘Alim Al-Halim, hati ini sedang diamuk nostalgia. Nostalgia panjang, yang pasti bukannya nostalgia biasa penuh keremehan. Nostalgia mengenang tempat hati ini tumbuh dan terus tumbuh, nostalgia semenjak tempoh hati ini diam di dalam gua hingga hari ini Engkau izinkan ia mengakar dan melangit, dan semoga itu Kau kekalkan.Sungguh, hati ini terimbau saat ia dirai penuh mesra dengan rahmah-Mu, yangKau bukakan pintunya di dalam halaqah-halaqah kecil yang dilalui, tahun demi tahun. Segala puji bagi-Mu, 7 tahun Kau izinkan pintu rahmah-Mu terbuka di dalam halaqah-halaqah itu, Ya Rahiim, mohon Engkau kekalkan.

Dari halaqah-halaqah itu Engkau temukan hati ini dengan hati yang ikhlas ingin menjadi pembimbingnya.Tekun memeriksa hati ini, dan bersungguh memaut hati ini dengan AgamaMu yangagung. Di tangan pemilik hati itu, hati ini terbuka untuk bersuci, belajar, dan pasti, ingin beramal. Semoga rahmah-Mu yang Engkau letakkan di tangan‘naqib-naqib’ itu Engkau lanjutkan Ya Rahiim.

Dari halaqah-halaqah ituEngkau izinkan semua hati di dalamnya bertaut, walau pastinya tidak bebas dari bercakaran, namun Engkau tetap izinkan ia membesar bersama, dalam senang juga susah. Engkau Maha Bijaksana, Engkau susunkan rehlah jaulah mukhayyam dan wasilah lainnya demi ia bersatu.

Ya Fattah Ya Qawiyy, hati ini tahu, segala yang dilalui dalam 7 tahun itu sengaja Engkau menyusunnya. Sentiasa sahaja hati ini berusaha menilik-nilik segala iktibar dari pengalaman-pengalaman itu. Kerana memang dari Gua kecil bernama Hira’ itu, Engkau simulasikan dunia Islam dan dakwah, hingga hati ini sempat sahaja merasa duka,kecewa,puas,dan gembira dengan pengalaman-pengalaman itu. Ya Latif, izinkan hati ini menyimpan kemas semuanya buat tatapan hati ini sendiri di masa hadapan.

Gua itu memang Engkau sengaja jadikan dirahmati Ya Rahiim, demi lahir dan tumbuh darinya benih-benih baru Islam. 7 tahun, dan hati ini tahu rupanya, rahmah turun kerana manusia. 7 tahun, dan hati ini tahu rupanya, tarbiyyah itu ada seninya, yang hanya mungkin difahami oleh yang bersungguh mencari petunjuk-petunjuk dari Sunnah Rasul-Mu. Benar, kerana dari seni tarbiyyah dan manusia-manusia ikhlas, hati ini sempat merasa Rahmah-Mu di gua itu. Ya Rabb,kalau bukan kerna Rahmah-Mu, gua itu akan kekal gua buatku.

Wahai Tuhan Yang Bisa Membolak-balikkan Hati, kekalkan hati ini menerima rahmah-Mu dalam ketaatan,dalam keikhlasan, dan dalam kesungguhan jihad demi Agama-Mu.

Terima kasih YaAllah, senja ini, hati ini keluar dari gua, dan hidupku di dalam gua menjadi senja,dengan pernah merasai hidup dalam ‘uzlah jiwa dan perasaan dari kecamuk dunia dan masyarakat luar yang gila. Nostalgia hati ini takkan pernah berakhir, kerna hati ini akan kerap-kerap lagi terkenang akan gua itu, kerana pintu mengenal jalan-Mu yang lurus, Engkau izinkan ia terbuka di sana. Ia pinta moga Engkau jua menyusun jalannya, seperti Engkau menyusun jalan Rasul-Mu, ketika ‘uzlahnya di gua beransur senja dan keluar darinya dengan ubat bagi umatnya.

Ya Dzal-Jalal-Wal-Ikram, izinkan hati ini terus berjalan atas jalan lurus.
-13 April 2008. Hari Ihtifal SMI Hira' 2008. Terima kasih semua.-

2 comments:

  1. tarikh ihtifal 13/4 ye. btw, terharu bc post ni w/pon bkn insan y 7 tahun menapak di Hira' :'(

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails