March 06, 2008

Logik akal mudah.

Waktu malam. Azan Isya' baru habis berkumandang. Siapa muazzinnya, saya sendiri kurang pasti.

Dan seperti malam-malam lain, 10 minit (atau 15 minit boleh juga) selepas azan, ialah waktu perdana kupasan isu-isu semasa. Tanahair mahupun luar negara. Siapa lagi kalau bukan penduduk-penduduk veteran Taman Indah Jaya merangkap orang-orang kuat Surau Al-Ehsan. (kuat kerana hanya mereka yang selalu ada - mana pergi orang muda?)

Isu malam itu sudah tentu, isu pilihanraya. Memang demam pilihanraya sangat-sangat mengesani semua orang minggu itu. Mungkin hanya kerana pada minggu itu perkara-perkara sebegitu relevan, rasa saya begitulah.

Dalam suam-suam kuku diskusi-menanti-iqamat itu berlangsung, seorang pakcik agak berumur berdehem mencari perhatian. Senyap semua seketika.

Pakcik berbaju melayu kebangsaan berwarna merah-merah manja mula bersuara.

"Sebenar-benarnya masalah kita ni ada dua saja. Satu, orang-orang kita ni tak dak ilmu. Kita malas nak baca. Dua, orang-orang kita ni islam depa kosong, takat nampak luar saja. Tak faham. Kalau faham, kita tak payah susah-susah hati nak cerita panjang. Depa tau siapa patut jadi pemimpin depa!"

Angguk-angguk belaka orang sekeliling. Dan saat itu iqamat kedengaran.

Pulang dari surau, sambil mengayuh basikal santai, saya pusing-pusingkan sebentar minda saya. Cuba memproses kupasan waktu perdana tadi.

Akhirnya, saya berfikir sendiri.

Memang apa yang disebut pakcik itu tadi logik akal yang cukup mudah. Dia mungkin faham setelah sekian lama terperap di dalam negara menyaksikan sejarah agamanya berlalu di depan matanya sendiri, dan akhirnya dua perkara itulah yang disimpulkannya. Saya yakin sekali itu lahir dari pemerhatiannya sendiri, bukan dari tarbiyyah semacam usrah dan sebagainya.

Bermakna, itu satu logik yang mudah dan cukup benar. Juga sangat bertepatan dengan apa yang saya fahami dari apa yang saya pelajari dalam usrah dan yang sewaktu dengannya.

Maka, bukankah satu-satunya jalan kita mahu lihat Islam jadi acuan tanah kita ini, ialah dengan memberikan tarbiyyah yang meluas dan syumul kepada masyarakatnya. Supaya nanti "Kalau faham, kita tak payah susah-susah hati nak cerita panjang. Depa tau siapa patut jadi pemimpin depa!", macam yang dirumus pakcik tadi.

Seperkara lagi, kalaulah kita mengharapkan dengan seminggu atau lebih ini kita mampu memahamkan masyarakat dengan kebenaran, itu tidak logik sama sekali. Juga jika kita mengharapkan dengan solat hajat perdana demi pilihanraya ini Allah akan mengurniakan kerajaan Islam kepada kita, itu juga tidak logik sama sekali. (Pahala pasti ada, cuma hasilnya?)

Mengapa?

Mudah sekali.
Kita luang sedikit masa kaji kisah ketika seorang sahabat Rasulullah datang kepada baginda s.a.w. Baginda ketika itu sedang khusyuk berdoa di hadapan kaabah. Sang sahabat meminta Rasulullah mendoakan agar diberi kemenangan dan pertolongan pada waktu itu. Ketika itu sahabat sangat ramai yang sedang menderita terseksa diazab didera. Rasulullah tegas menegur : "Engkau ini dari kalangan orang-orang gopoh! Orang-orang sebelum kita mempertahankan aqidah mereka hingga digergaji dari atas kepala ke bawah...(dan seterusnya, atau seperti yang disabdakan Baginda).

Rasulullah yang maksum jika berdoa, kita semua tahu, pasti mustajab. Namun baginda tidak mahu. Kenapa? mudah sahaja. Logik yang diajar Allah dari kisah orang-orang terdahulu dalam Al-QurĂ¡n : Satu kemenangan hanya layak dengan usaha yang penuh tekun,sabar,dan panjang,juga penuh tribulasi dan mehnah. Tiada sama sekali jalan mudah lagi ekspres.

Ini yang saya faham. Anda pula bagaimana?

2 comments:

  1. salam~

    observation = meter taqwa

    fa'tabiru ya ulil absar!!
    (cari aa pengajaran di setiap sesuatu wahai pemilik hati2 yang mampu melihat -taqwa-) ~Allah firman

    pemerhatian alam sekeliling jadi ukuran taqwa~ itu saya kata

    utk readers n bloggers yg lain...boleh jadikan post brat-mikrajovic sbg panduan utk terus service diri

    ReplyDelete
  2. Suatu perkongsian yagn menarik. Walaupun kita meyakini akan hakikat jalan ini yang sangat panjang, kit juga boleh mempercepatkan prosesnya dengan melipat gandakan usaha kita. Hassan al-Banna pernah menyebut tentang hal ini di dalam muktamar ke-5 Ikhwan kalau tak silap ana.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails