December 06, 2007

Zikir Kala Senja Di Gua




Awan yang mengapung mula menjadi keemasan. Cahaya jingga biasan matahari jadi memayungi segenap pelusuk bumi. Ada jalur-jalur cahaya manja menyapa tanah-tanah luas. Burung, semut, kucing, kumbang, kambing, lembu, ayam, monyet, berundur perlahan-lahan, pulang. Angin semilir mengiring, jadi tenang sewaktu senja. Jadi tenang sewaktu berakhirnya siang suntuk.

Hati siapa yang tidak tersentuh dengan senja?

Allah Maha Mengetahui segala yang di dalam hati. Maha Suci Allah yang mengajarkan Muhammad (selawat ke atasnya) zikir-zikir senja, lalu diwariskan kepada umat dalam himpunan al-ma’thurat. Semua kerana senja, yang sememangnya diciptakan untuk menyentuh dan membelai hati.


Wallahu’alam, hanya dalam zikir dan doa mampu terungkap perasaan hati-hati di kala senja, senja hakiki dan ‘senja’ majazi.

* * * * * * * * *

Wahai Tuhan, sesungguhnya memang di dalam hati ini, Engkau sahajalah yang paling
mengetahui apa yang tersimpan. Aduh, hati yang sedang menyimpan ini, hanya
Engkau sahajalah yang mampu menenangkannya.

Ya Allah Al-‘Alim Al-Halim, hati
ini sedang diamuk nostalgia. Nostalgia panjang, yang pasti bukannya nostalgia
biasa penuh keremehan. Nostalgia mengenang tempat hati ini tumbuh dan terus
tumbuh, nostalgia semenjak tempoh hati ini diam di dalam gua hingga hari ini
Engkau izinkan ia mengakar dan melangit, dan semoga itu Kau kekalkan.
Sungguh, hati ini terimbau saat ia dirai penuh mesra dengan rahmah-Mu, yang
Kau bukakan pintunya di dalam halaqah-halaqah kecil yang dilalui, tahun demi
tahun. Segala puji bagi-Mu, 7 tahun Kau izinkan pintu rahmah-Mu terbuka di dalam
halaqah-halaqah itu, Ya Rahiim, mohon Engkau kekalkan.

Dari halaqah-halaqah
itu Engkau temukan hati ini dengan hati yang ikhlas ingin menjadi pembimbingnya.
Tekun memeriksa hati ini, dan bersungguh memaut hati ini dengan AgamaMu yang
agung. Di tangan pemilik hati itu, hati ini terbuka untuk bersuci, belajar, dan
pasti, ingin beramal. Semoga rahmah-Mu yang Engkau letakkan di tangan
‘naqib-naqib’ itu Engkau lanjutkan Ya Rahiim.

Dari halaqah-halaqah itu
Engkau izinkan semua hati di dalamnya bertaut, walau pastinya tidak bebas dari
bercakaran, namun Engkau tetap izinkan ia membesar bersama, dalam senang juga
susah. Engkau Maha Bijaksana, Engkau susunkan rehlah jaulah mukhayyam dan
wasilah lainnya demi ia bersatu.

Ya Fattah Ya Qawiyy, hati ini tahu, segala
yang dilalui dalam 7 tahun itu sengaja Engkau menyusunnya. Sentiasa sahaja hati
ini berusaha menilik-nilik segala iktibar dari pengalaman-pengalaman itu. Kerana
memang dari Gua kecil bernama Hira’ itu, Engkau simulasikan dunia Islam dan
dakwah, hingga hati ini sempat sahaja merasa duka,kecewa,puas,dan gembira dengan
pengalaman-pengalaman itu. Ya Latif, izinkan hati ini menyimpan kemas semuanya
buat tatapan hati ini sendiri di masa hadapan.

Gua itu memang Engkau sengaja
jadikan dirahmati Ya Rahiim, demi lahir dan tumbuh darinya benih-benih baru
Islam. 7 tahun, dan hati ini tahu rupanya, rahmah turun kerana manusia, bukan
kerana sistem dan tanah. 7 tahun, dan hati ini tahu rupanya, tarbiyyah itu ada
seninya, yang hanya mungkin difahami oleh yang bersungguh mencari
petunjuk-petunjuk dari Sunnah Rasul-Mu. Benar, kerana dari seni tarbiyyah dan
manusia-manusia ikhlas, hati ini sempat merasa Rahmah-Mu di gua itu. Ya Rabb,
kalau bukan kerna Rahmah-Mu, gua itu akan kekal gua buatku.

Wahai Tuhan Yang
Bisa Membolak-balikkan Hati, kekalkan hati ini menerima rahmah-Mu dalam ketaatan,
dalam keikhlasan, dan dalam kesungguhan jihad demi Agama-Mu.

Terima kasih Ya
Allah, senja ini, hati ini keluar dari gua, dan hidupku di dalam gua menjadi senja,
dengan pernah merasai hidup dalam ‘uzlah jiwa dan perasaan dari kecamuk dunia
dan masyarakat luar yang gila. Nostalgia hati ini takkan pernah berakhir, kerna
hati ini akan kerap-kerap lagi terkenang akan gua itu, bukan kerana tanahnya dan
bukan kerana sistemnya, tapi kerana pintu mengenal jalan-Mu yang lurus, Engkau
izinkan ia terbuka di sana. Ia pinta moga Engkau jua menyusun jalannya, seperti
Engkau menyusun jalan Rasul-Mu, ketika ‘uzlahnya di gua beransur senja dan
keluar darinya dengan ubat bagi umatnya.

Ya Dzal-Jalal-Wal-Ikram, izinkan
hati ini terus berjalan atas jalan lurus.

Dari gua ‘diturunkan wahyu padanya’, kala senja, 4 Disember 2007.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails