"It must be borne in mind that any reform should not ignore traditions, tenets, and fundamental principles" --Za'ba
December 10, 2007
"Ayah,lakukanlah"
Masih belum yakin kemampuan dan kekuatan Tarbiyyah? Baiklah, perhatikan sahaja kisah ini.
* * * * *
Kering. Kontang. Yang bertiup hanya angin selatan yang berhawa panas dan berbahang. Dan terbang bersama-sama angin itu pasir-pasir memedihkan mata. Lembah itu nyata tidak subur,bukan sahaja tiada hidupan, sebatang tumbuhan pun sukar kelihatan.
Di situlah dia ditinggalkan. ‘Di lembah yang tiada padanya sebarang tanaman’.
Suaminya hanya menuruti perintah. Perintah dari langit tinggi, yang tentunya tidak akan dia persoalkan. Pun begitu, suaminya manusia juga. Ada juga simpati dan kasih pada isterinya,malah memang menebal. Tetap dia tinggalkan isterinya, itu ubudiyyah.
Isterinya kuat. Tabah. Ketika ditinggal tidak sedikit pun dia mengeluh, walau pastinya perasaan bercampur baur. Ditinggal suami tempat bergantung, bersama perut yang sarat, di tempat tanpa hidupan. Seakan tidak boleh diterima akal, namun itulah yang telah terjadi pada pasangan suami isteri itu. Allah sebaik-baik tempat bergantung kata si isteri.
Si isteri melahirkan anak tidak beberapa lama selepas itu. Tanpa bidan dan perubatan secukupnya. Benar si isteri kuat,juga tabah.
Alhamdulillah, anaknya sihat, boleh menangis. Tanda sihat seorang bayi.
Si isteri sedar akan timbul masalah baru. Anaknya sihat dilahirkan, namun ia perlu diberi makan. Susunya tidak mampu bertahan dalam keadaan kontang begini. Kerana si ibu kuat, ia berlari-lari mencari air,segera, selagi anaknya mampu bertahan. Seakan tidak logik, wanita berpantang berlari-larian, tetapi itulah yang terjadi.
Saat itu ada kurnia dari langit. Si bayi bertuah menghentak bumi, memancurkan mata air mulia. Si ibu yang keletihan berlari-lari anak antara Safa dan Marwah, dua bukit besar di lembah itu, menangis kesyukuran. Si ibu dan si bayi jadi gembira dan tenang. Lembah itu tidak akan kontang lagi kini. Tidak kontang lagi selama-lamanya.
* * * * *
Masa berlalu dan si anak membesar,menjadi kanak-kanak.
Pada masa itu, muncul semula ayahnya. Ayahnya yang meninggalkan ibunya ketika si kanak-kanak masih lagi sekadar janin, dan datang semula ketika dia telah jadi kanak-kanak sempurna. Pasti tempoh yang agak lama, dan memeritkan.
Si anak memang tidak pernah mengenal ayahnya. Sedang melihat dia tak pernah, inikan pula bercakap mesra dengan ayahnya. Dia anak yang tidak berayah awalnya. Tidak pernah merasai pula kewujudan seorang lelaki dewasa di dalam keluarga. Hanya si ibu yang bersama dengannya.
Suatu pagi si ayah datang kepada anaknya. Riak muka tampak risau. Datang bercakap dengan anaknya, yang baru sahaja dikenali dan ditatapinya. Belum pun sempat bermain bermesra sepuasnya. Ada hajat terbuku dalam hati, tapi mulut nampak terkunci, air mata nampak mengisi.
“Duhai anak, aku melihat di dalam mimpiku, bahawa aku ini diminta Tuhanku menyembelihmu, duhai anak, katakanlah, apa pandanganmu,” Sebak. Memang si ayah sebak.
Beberapa tahun ditinggalkan. Di tanah kontang. Ibunya ditinggalkan kontang, tanpa apa-apa bekalan selain iman. Dia dilahirkan, dia disusukan, dia dibesarkan, susah sekali. Dan ayahnya tidak pernah ada di sisi. Bila si ayah datang tiba-tiba, mengaku pula ayahnya, dia belum pun berkenalan betul dengan si ayah. Setelah semua keperitan itu ditinggalkan ayah kepada dia dan ibunya, kini, minta menyembelih dirinya? Dirinya disembelih ayahnya?
“Duhai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu.”
* * * * * * *
Analoginya cukup mudah. Bayangkan sahaja kita si anak. Kalau kita remaja atau dewasa, baiklah, kurangkan sedikit umur kita, jadi kanak-kanak sebentar. Dengan minda kanak-kanak kita, bayangkan kita menghadapi situasi itu.
Sedang bermain-main pasir, datang lelaki entah dari mana, mengaku ayah. Hm, ayah? Ada juga dulu ibu bercerita tentang ayah. Tetapi kita tidak pernah faham apa itu ayah, tidak pernah faham.
Belum pun selesai misteri ayah, ayah minta pula ingin menyembelih. Minta ingin mengerat leher kita hingga putus beberapa urat utama hingga darah berpancutan bersemburan dengan pisau yang tajam,hanya kerana dia disuruh.
Mampu kita menerima? Entah berdepan pun kita tidak mampu.
Dan memang sebenarnya, tiada manusia biasa yang mampu. Kisah itu kisah manusia yang hebat. Memang mereka para anbiya’, tapi mereka juga manusia dengan jiwa dan perasaan. Namun jiwa dan perasaan mampu bertindak hebat dan agung, di luar kemampuan manusia biasa, kerana mereka ditarbiyyah. Sesungguhnya, mereka telah ditarbiyyah.
Si anak hanya mampu berperasaan dan berkata sedemikian, hasil tarbiyyah ibunya. Jiwanya jadi kental, perasaannya jadi agung, dan kata-katanya jadi matang. Ibunya berjaya memberi tarbiyyah yang muatssarah, yang berimpak pada peribadinya.
Telah terbentang banyak sekali petunjuk daripada orang-orang sebelum kita.
“Maka ambillah pengajaran, wahai orang yang ‘MELIHAT’”.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ini tarbiyyah,
ReplyDelete