May 30, 2007

Di bawah redup Al-Mukarramah



Masjid mulai lengang. Jemaah yang tadinya memenuhi 1 setengah saf hadapan beransur-ansur keluar, meneruskan pekerjaan selesai solat Zohor. Hari mendung sedikit.

Saya baru sahaja selesai menunaikan solat sunat 2 rakaat ba’diyyah. Ketika melangkah keluar dari pintu dewan solat, mandir di koridor, sempat memberi senyum kurang manis kepada Tuan Imam. Tangan dihulur, saya sambut dengan tangan kanan saya. Kami berjabat ringan.

“Sihat?” soal Tuan Imam, cuba prihatin.

“Alhamdulillah,” saya balas tersipu-sipu.

Di dalam hati memang sudah lama berniat untuk berbual panjang dengan Tuan Imam. Mungkin jika bernasib baik, berbincang beberapa perkara yang boleh saya bantu. Entah bagaimana, saya mengajukan satu soalan biasa kepada Tuan Imam.

“Ustaz, cuti sekolah ni apa perancangan masjid?” saya soal, sekadar bertanya biasa-biasa.

Rupa-rupanya soalan tersebut bukan soalan biasa bagi Tuan Imam. Mungkin cepu emas, mungkin juga soalan subjektif 10 markah. Entahlah. Cuma dari riak wajahnya saya dapat mengagak begitu.

“Sebenarnya, perancangan kita, perancangan yang tak terancang. Memang cuti sekolah ni setakat ini tak ada program yang masjid susun. Kita sebenarnya, dah ada program dah yang Allah susun. Solat jemaah, program ni Allah dah susun lama dah, program ni juga program Rasulullah buat zaman dia dulu.

Saya bukan apa, Cuma memang saya tak berminat untuk buat program-program besar. Ada pendaftaran, bayar yuran, 2-3 hari, lepas tu tak datang masjid dah. Ibu bapa hantar anak-anak sebab cuti kosong, tak tahu isi apa, hantar program masjid. Saya tak suka macam tu.

Ini Rasulullah tak pernah buat. Nak ajak orang datang solat di masjid buat futsal dulu, buat program-program besar dulu, ni Rasulullah tak pernah buat. Kita tak perlu buat apa yang Rasulullah tak buat. Lagi bila buat futsal, buat program besar-besar, masjid jadi huru-hara, kotor, sampah bersepah. Hilang kemuliaan masjid. Hilang ketenangan masjid.

Saya punya cara macam inilah, mungkin cara orang lama, tapi biasanya cara orang lama inilah yang bagus. Kita ansur-ansurlah, sikit-sikit kita bergerak, Insya Allah..”

“Cuma ustaz, saya bukan apa, kadang-kadang bila jalan-jalan pusing kawasan rumah, tengok ramai budak-budak Islam ada, main bola sama-sama. Tapi yang datang masjid saya dengan seorang budak lagi je..sedih sikit la ustaz..”

“Ya, memang kita cuba ajak lah mana yang kita mampu. Tapi kita kena ingat, sebenarnya seruan datang solat jemaah ni dah lama dah ada, 1400 tahun dulu dah, azan tu sebenarnya cukup untuk mengingatkan manusia untuk datang masjid, ingat Allah. Lagi, ada hadis nabi, solat jemaah 27 kali ganda, cukup dengan hadis ni buat manusia datang solat jemaah. Rasulullah dulu pun macam tu, dia sebut hadis tu, sahabat datang berduyun solat jemaah di masjid. Ada ke di sini yang tak pernah dengar azan atau hadis tu?

Ada kot ustaz?”

“Tak, tak ada. Saya tahu, dalam KBSR, KBSM, semua pernah sebut perkara ni. Ini sebenarnya bergantung iman mereka sendiri, kalau betul mereka ini beriman, mereka akan datang sini..”

“Jadi datang solat ni ustaz, bergantunglah iman mereka untuk datang? Kalau tak datang tak berimanlah?”

“Ya, betul. Kita tak payah risau sangat. Memang begini yang Rasulullah sebut akhir zaman, masjid besar, kipas ada, air-cond ada, karpet lawa, tapi tak ramai yang datang. Bukan tak ada, ada, tapi itulah, 2 saf pun bagi ustaz cukup bagus. Kita tak perlu risau-risau. Memang macam itulah, kita tak boleh harap hasil cepat-cepat. Kita kena sikit-sikit. Kita tak nak kuantiti, kita nak kualiti tu.”

“Memang macam inilah akhir zaman ustaz?”

“Ya, macam inilah. Nama kamu siapa?”

“Syed Ahmad Israa’..panggil Ahmad boleh,”

“Sekolah mana?”

“Sekolah Islam Hira’ Jeram, umur 19 dah, tapi baru tingkatan lima. Lepas tingkatan 3 masuk tahfiz,”

“Alhamdulillah, baguslah kalau ada orang macam kamu. Ada lagi kawan-kawan macam kamu di sini?”

“Entahlah ustaz, saya pun jarang balik rumah. Duduk asrama lagi lama.”

“Kalau ustaz boleh kumpulkan lagi macam kamu, boleh ustaz minta tolong, kita buat kelas mengaji Qur’an untuk anak-anak. Kamu boleh bantu.”

“Insya Allah, boleh. OKlah, ustaz, ada masa nanti boleh saya bual panjang lagi dengan ustaz. Ustaz free kan siang-siang?”

“Boleh, boleh. Ustaz boleh siang-siang.”

“OK ustaz, assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam”

Saya meninggalkan ustaz menuju ke kereta. Adik kecil mulut mencebik di sebelah kereta. Saya mulut terkunci. Diam seribu bahasa. Seribu persoalan bermain dalam kepala.

Hari itu, saya nekad. Perbualan tadi takkan berhenti di situ.

(Kisah benar – Isnin, 28.5.2007)

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails