September 15, 2011

Humanity


Waktu berbuka puasa saya bersama keluarga biasanya ditemani rancangan di TV Al-Hijrah. Selalunya yang tersiar selepas azan maghrib ialah siri 'Fattabiouni'.

Dan pada suatu hari, Habib Muhammad dalam rancangan tersebut bercerita tentang sunnah Nabi s.a.w ketika bermusafir; iaitu Nabi s.a.w menyukai jika musafir diiringi dengan al-huda' (diterjemah sebagai nyanyian) bagi menyenangkan hati ketika bermusafir.

Ayah saya bertanya, "Betul ke Nabi buat macam ni?"
Saya menjawab, "Nabi bukan malaikat, Nabi kita kan manusia."

* * * *

Kemanusiaan, atau humanity, hari ini saya rasakan belum cukup luas definisinya. Ia bukan sekadar apa yang sering kita bayangkan sebagai satu perasaan kasih, prihatin, atau karakteristik psikologi manusia sahaja.

Melalui hidup baginda s.a.w, juga ajaran baginda s.a.w, erti kemanusiaan dibawa pergi jauh lebih luas dan mendalam.

Bagi saya, kemanusiaan yang diajar Nabi s.a.w membawa erti sifat-sifat tabii seorang manusia, yang mengingatkan akan dirinya sendiri bahawa dia ialah seorang manusia sahaja di hadapan Tuhannya. Bukan malaikat yang maha taat, dan tentu sekali bukan syaitan yang maha ingkar. Menyedarkan dirinya ialah manusia yang hidup di bumi yang rendah bukan terbang di langit yang tinggi. Itulah manusia, yang pasti banyak kelemahan, keperluan, dan pasti berlaku salah.
Mengikut logik pun, jika seseorang tidak pernah lemah, tidak mempunyai hajat, dan tidak membuat salah, dia bukanlah manusia.

Tambah menarik, kefahaman yang luas ini diajar oleh Rasul s.a.w tanpa perlu memberi leteran panjang atau tesis berjilid tentang falsafah kemanusiaan. Cukup dengan qudwah dan sedikit peringatan daripada baginda s.a.w.

"Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku)."  --Riwayat Bukhari dan Muslim

"Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu, melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar."  --Surah Al-Furqan : 20

* * * *

Gagalnya memahami mafhum kemanusiaan, dan gagal pula membawanya ke dalam kehidupan peribadi, keluarga, dan masyarakat, akan membawa kepada pelbagai pertimbangan lain yang salah.

Yang paling merbahaya ialah akan timbul bibit-bibit 'al-ghuluw' di dalam cara fikir dan cara menyusun kehidupan. Menjadi ekstrem dalam tindakan, menjadi 'high-expectation' dalam menilai insan lain, dan menjadi terlalu keras dalam perhubungan sesama manusia.

Perlahan-lahan, tanpa disedarinya, dia telah mengasingkan dirinya dari kehidupan manusia lain. Dia telah membina jurang yang luas bagi orang lain menghampiri dirinya. Dia berbahasa lain daripada bahasa manusia biasa, dan hidup di dalam ilusi kesempurnaan, sedangkan kesempurnaan seorang manusia ialah seperti yang diajar oleh Rasul s.a.w dalam faham ke-manusia-annya.

Mereka yang sedaya upaya memahami dan menghidupkan erti kemanusiaan yang diajar oleh baginda s.a.w pula akan lebih sederhana dalam kehidupan. Hidup mereka senang dan menyenangkan orang lain. Dan yang paling besar, mereka sering merasai manisnya tawadhu' dan kehinaan dalam ibadah mereka di hadapan Tuhan, lantaran mereka sedar, mereka hanyalah, manusia.

* * * *

Menjadi manusia, dengan segala keperluan dan hajat manusia, adalah penting. Hanya dengan menjadi manusia yang tidur, makan, berkahwin, dan berbuat salah, barulah dia mampu merasai lazatnya menjadi manusia di hadapan Tuhan, merasai manisnya ubudiyyah di muka bumi Allah.

Marilah kita menjadi manusia, dan melihat manusia lain sebagai manusia.





p/s : Tahniah buat teman-teman yang akan berkahwin, anda menjadi semakin 'manusia'!









2 comments:

  1. manusia imannya turun naik, bkn spt malaikat yang sentiasa 'maintain' imannya.

    sbb tu kita istimewa!

    ReplyDelete
  2. Mabruk ya akh. Ana sedang keliru dengan ilmu2 baru di kolej ana. Dengan susah payah ana cuba untuk memahami. Kerana tak sama dengan apa yang dipelajari di Hira'. Agak 'culture shock' bila ada yang katakan bahawa nasheed adalah haram. Tambahan pula, empat2 mazhab mengatakan haram. Mereka mengeluarkan kenyataan tersebut dengan mengeluarkan hadith2 yang ana tak tahu sejauh mana kesahihan hadith2 tersebut. Ana tanya Ustaz, Ustazah. Mereka mengeluarkan pendapat masing2 dengan mengatakan boleh tapi ada syarat2 yang tertentu. Seperti jangan sampai melalaikan. Itu boleh diterima lagi. Kalau sampai haram terus, agak pelik bunyinya. Dan tak dapat cari mana keterangan yang begitu jelas, hadith mana yang mengatakan shahih dalam hal ini. Perlu dikaji lagi. Syukran ya akh. Ana benar2 menghargai entri baru ini. Bertambah ilmu. Alhamdulillah. Jazakumullahu kheyraan kathiraa. ^^,

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails