July 25, 2011

Menghayati sejarah perjuangan


Memahami dan menghayati satu-satu ideologi/aliran perjuangan bukan usaha yang boleh dipandang ringan.

Sekadar berpada dengan bahan bacaan tentang perjuangan tersebut, atau mendengar sekali-sekala tentangnya, sama sekali tidak memadai.

Menjadi satu peraturan umum alam, mana-mana perjuangan dan ideologi yang ingin tertegak di muka bumi ini perlukan pendokong yang bukan calang-calang. Pendokongnya mestilah menjiwai dan menghayati segala-galanya tentang ideologi dan perjuangan tersebut, kecil dan besar, luar dan dalam.

Membaca tentangnya, mempelajari tentangnya, melihat dengan mata kepalanya sendiri segala kerja-kerja perjuangan tersebut, mendampingi tokoh-tokohnya, menimba pengalaman tokoh-tokohnya, memahami dan mengingati segala catatan dan liku sejarah jatuh dan bangun perjuangan tersebut, dan yang paling penting, melatih diri dan membenarkan dirinya dilatih dan diasuh sehingga dirinya lengkap dengan acuan ideologi dan perjuangan tersebut. Semua ini diperlukan untuk menjadi pendokong sebuah ideologi dan perjuangan yang benar-benar membantu.

Semuanya boleh kita saksikan sepanjang lipatan sejarah, bermula dengan sejarah ideologi dan perjuangan paling mulia di atas muka bumi, Islam. Dari zaman Rasulullah, tabiin, tabi' tabiin, hinggalah kepada sejarah semua gerakan Islam yang wujud pada hari ini, semuanya perlu melakukan perkara-perkara sedemikian demi memiliki sebuah ideologi yang bertapak kukuh dan didokong oleh pendokong yang sanggup mati demi ideologi dan perjuangan tersebut.

Begitu jugalah yang terjadi pada perjuangan-perjuangan ideologi lain; Hitler, komunisme, sosialisme, dan sebagainya.

* * * * *

Bagi saya, antara kesemua usaha tersebut, memahami, mendalami, dan melihat sendiri catatan sejarah perjuangan ialah antara cara yang paling memberi kesan kepada penghayatan sesuatu ideologi.

Barangkali tidak salah saya katakan, antara hikmah pensyariatan haji dan umrah bagi umat Islam, ialah demi melahirkan umat yang menghayati dan menjiwai perjuangan ideologi Islam yang dibawa Rasulullah, yang sumber lahirnya ialah di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Mengikuti sendiri jejak yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat pendokong baginda, tentu sekali memberi satu kelainan kepada perasaan, dan mengesankan hati yang benar-benar cuba membayangkan dan menghayati.

Maka itu, sudut penghayatan sejarah secara emosi (melalui perkongsian, penceritaan pengalaman) dan fizikal (melalui pertemuan, ziarah tempat, dan kembara), bagi mendidik pendokong kepada sesebuah perjuangan, tidak seharusnya dipandang enteng. Bahkan ia perlu difikirkan, diusahakan, dan dipastikan berjalan.

Jika tidak, ideologi dan perjuangan tersebut sama sekali tak akan memiliki pendokong yang 'tenggelam' dalam penghayatan perjuangan.


4 comments:

Related Posts with Thumbnails