March 04, 2010

Man Yashaa'

Cuti musim sejuk berakhir. Dewan kuliah kembali riuh dengan suara pelbagai bahasa. Walaupun kuliah 'tertangguh' hampir seminggu selepas tamatnya cuti kerana rakyat Mesir 'cintakan nabi' (lalu cuti dipanjangkan sendiri tanpa perlu sebarang pengumuman).
Menghadapi subjek-subjek bagi semester kedua ternyata lebih mencabar. Lebih berat, dan lebih banyak. Para penuntut tahun 1 Syariah umpamanya, bakal menghabiskan 5 subjek yang berat (Usul Fiqh, Fiqh Mazhab, Fiqh Perbandingan, Masalah Fiqh Moden, dan Tauhid) dan 2 subjek yang separa berat (Penulisan kajian dan Al-Quran). Mungkin juga berbeza,bergantung pada kemampuan masing-masing. Tapi secara umumnya, begitulah.



Cabaran bakal bertambah getir memandangkan pada semester kedua ini juga, kebanyakan persatuan mengambil peluang menganjurkan pelbagai program dan aktiviti. Kepincangan menyusun agenda dan mendisiplinkan diri dengan pelajaran, tentu sekali akan mengundang celaka buat sesiapa pun.

Mungkin dengan berakhirnya musim sejuk, dan tibanya musim bunga, memberi satu tanda harapan buat satu tempoh dan fasa yang lebih baik dari sebelumnya.

* * *
Kesempatan menghadiri syarahan doktor dalam subjek Masalah Fiqh Moden amat saya hargai. Meskipun secara realitinya, masalah-masalah yang dibincangkan sudah diiktibar selesai dan perbincangan para fuqaha' sudahpun beralih kepada masalah-masalah yang lebih baru, mempelajari subjek ini merupakan satu kenikmatan yang tersendiri. Mungkin kerana kesemua doktor (3 orang pensyarah) yang mengajar subjek ini menyampaikannya dengan baik, dan dalam Bahasa Arab terindah, Fushah.

Dr Ahmad 'Aid Abd Hamid, lelaki dalam lingkungan awal 40-an, merupakan salah seorang dari mereka. Tingginya sederhana dan tubuhnya sedikit tegap. Rambutnya dipotong nipis, tidak berkumis, dan janggut serta jambangnya rapi memenuhi pipi dan dagu. Apabila menyampaikan syarahan, beliau biasanya akan berdiri dan berjalan-jalan di depan, sambil sekali-sekala meminta pelajar memberikan pendapat dan mengulang semula secara ringkas syarahannya.

Salah satu tajuk yang menjadi kupasan beliau ialah : "Penentuan jantina janin : pandangan hukum syara'". Tajuk ini membincangkan pendapat para fuqaha' mengenai isu pasangan suami isteri menentukan jantina janin yang ingin dilahirkan. Dengan kaedah sains masa kini, isu ini menjadi satu perkara yang logik dan boleh dilaksanakan secara saintifik. Tentu sekali di zaman kegemilangan penulisan Fiqh dahulu, isu ini langsung tidak terfikir oleh akal. Maka, di dalam mana-mana buku Fiqh klasik, tidak terdapat sebarang perbincangan tentang hukum ini. Tiada walau yang hampir-hampir serupa sekalipun.


Salah satu dalil yang digunakan oleh ulama' yang mengharuskan perkara ini ialah ayat Al-Quran yang menceritakan bagaimana nabi Zakaria berdoa kepada Allah meminta dikurniakan seorang pewaris lelaki, bukan perempuan(rujuk surah Maryam).

Manakala ulama' yang menentang dan cenderung untuk mengharamkan menggunakan dalil dari ayat Al-Quran yang berbunyi : "Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya." (As-Shura : 49)

Ulama'-ulama'  ini berpendapat jantina anak - lelaki dan perempuan - adalah semata-mata atas kehendak Allah, dan manusia tidak layak menentukan.

Di noktah ini Dr Ahmad 'Aid mengajak semua pelajar berfikir dan memahami satu kefahaman penting tentang maksud sebenar ayat ini. Lebih khusus lagi, kefahaman sebenar kepada kalimah 'من يشاء' (sesiapa yang dikehendakiNya).

Bagi mereka yang banyak menghafal ayat-ayat Quran, dan prihatin, kalimah yang sama digunakan (hanya 'dhomir' yang berbeza) apabila Al-Quran berbicara tentang beberapa perkara lain, contohnya seperti urusan hidayah Allah, urusan memberi kuasa, dan urusan memberi kemuliaan. Antara contoh-contoh ayat tersebut :
"Allah yang memberikan petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus." (Al-Baqarah:142)

"Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya" (Al-Baqarah:247)

"Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki." (Ali Imran:26)

Dan banyak lagi ayat yang lain.

Ramai orang yang salah dalam memahami ayat ini kata beliau. Seolah-olah perkara yang disebutkan itu semuanya berada atas ketentuan Allah dan manusia hanya menunggu dan berserah atas sebarang ketetapan daripada Allah. Atau sekiranya mereka tidak memperolehi perkara tersebut, mereka beralasan bahawa Allah lah yang menetapkan untuk mereka tidak memperolehinya. Contohnya seperti hidayah Allah, dan kemuliaan Umat Islam.

Pemahaman yang betul ialah perkara-perkara tersebut pada awalnya adalah perkara yang Allah berikan pilihan kepada manusia. Dan qadar atau ketetapan Allah yang dimaksudkan dengan 'sesiapa yang dikehendaki' ialah bergantung kepada pilihan yang dilakukan oleh manusia.

Gambaran paling mudah : sekiranya satu bangsa tersebut memilih untuk tidak berusaha dan malas, maka taqdir Allah bagi bangsa tersebut ialah kehinaan dan kemunduran. Dan jika bangsa tersebut memilih untuk berusaha dan membangunkan diri mereka, maka taqdir Allah bagi bangsa tersebut ialah kemuliaan dan kemajuan.

Allah tidak pernah dan sekali-kali tidak akan menzalimi dan membiarkan hamba-Nya, kata beliau lagi.

Kisah Saidina Umar r.a (yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dalam Sahih Bukhari) melengkapkan gambaran ini, dan menunjukkan kejelasan pemahaman para Sahabat.

Ketika Umar r.a bersama dengan sekumpulan manusia (di zaman khilafah Umar) menuju ke satu tempat, beliau mendapat berita bahawa tempat tersebut telah dijangkiti wabak taun. Lalu Umar mengarahkan rombongan tersebut untuk pulang dan tidak meneruskan perjalanan ke tempat tersebut.
Abu Ubaidah r.a berkata : "Adakah kita ingin lari dari qadar Allah?!"
Umar memberi jawapannya, yang lahir dari kefahaman yang jelas terhadap isu Qadar ini : " Ya! Kita lari dari qadar Allah kepada qadar Allah (yang lain)"
(Abd Rahman Auf kemudiannya mengatakan Rasul s.a.w pernah bersabda : "Jika kamu mendengar tentangnya (wabak) di satu tempat maka jangan kamu datanginya. Umar bersyukur mendengar hadis tersebut dan beliau terus pulang)

* * *

Manusia tiada alasan mengaku tidak ditakdirkan kuat.
Manusia tiada alasan hidayah tidak diberikan.
Manusia tiada alasan untuk terus hidup dalam kehinaan.

Dan manusia tidak boleh menyalahkan sesiapapun, sekiranya nanti di akhirat, mereka dicampak ke neraka Tuhan.

8 comments:

  1. nice post . membuka minda


    "Manusia tiada alasan mengaku tidak ditakdirkan kuat.
    Manusia tiada alasan hidayah tidak diberikan.
    Manusia tiada alasan untuk terus hidup dalam kehinaan.

    Dan manusia tidak boleh menyalahkan sesiapapun, sekiranya nanti di akhirat, mereka dicampak ke neraka Tuhan."

    ReplyDelete
  2. Jzklh akhi. Mesti sronok blaja fiqh moden.. Hrp truskn prkongsian.

    ReplyDelete
  3. wan hilmi liked this (gambar thumbs up)

    ReplyDelete
  4. ada pulak komen ala-facebook kat sini.

    ReplyDelete
  5. apa pulak hukum scan baby dlm islam?

    ReplyDelete
  6. Quote:

    "Manusia tiada alasan mengaku tidak ditakdirkan kuat.
    Manusia tiada alasan hidayah tidak diberikan.
    Manusia tiada alasan untuk terus hidup dalam kehinaan.

    Dan manusia tidak boleh menyalahkan sesiapapun, sekiranya nanti di akhirat, mereka dicampak ke neraka Tuhan."

    -sangat memberansangkan,

    namun ,jika tengok semua jenis kecacatan manusia yang wujud di muka bumi ini seperti sindrom down dan segala sindrom lain sudah tentu taraf mukallaf tidak ada pada mereka,
    dan golongan yang cacat ini kadang kadang menjadi sumber hidayah pada golongan yang berfikir dan ulil absar,ululalbab dll.



    taraf hina dan taraf mulia juga bukan semata-mata kudrat manusia,malah faktor Allah meletakkan zillah pada sesetengah golongan yang dikatakan golongan mundur kerana malas usaha itu mungkin lebih jelas dalam ayat 17 dan 86 dari surah Baqarah dan lebih tersangat jelas dalam ayat 257 dari surah yang sama.

    segala percambahan idea /respon dari saudara sgt dialu-alukan

    ReplyDelete
  7. penggunaan DARI hanya bagi tujuan 3 perkara;

    arah
    Tempat
    Masa

    contoh; datang dari Johor
    contoh; dari pukul 6
    contoh; dari kanan ke kiri

    maka penggunaan daripada adalah lebih bertepatan untuk digunakan selain daripada yang tersenarai.

    Kupasan menarik

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails