April 20, 2009

Hari-Hari Putrajaya bermula.

Jangan salah sangka dengan tajuk saya. Mungkin ada yang ingat saya sudah tergila-gilakan kerusi empuk PM di Putrajaya hingga perasan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong saya sudah berkuasa di Putrajaya, bila melihatkan tajuk entri ini.

Janganlah begitu. Saya sedar siapa saya.


* * * *
Sesiapa sahaja yang punya kehendak dan perancangan besar mahu belajar di luar Malaysia mengambil tidak kisahlah apa pun, ijazah atau pengalaman saja-saja sekalipun, pasti akan melalui 'Hari-Hari Putrajaya'. Hatta rasa saya yang belajar tinggi-tinggi dalam negara pun pasti pernah terjebak walau sekejap.

Lagi pula kalau bukan warganegara yang normal (tidak normal bukan kurang siuman ya). Misalnya, anda lahir di luar negara lantaran ibubapa belajar di sana dan pulang ke tanah air dengan sekeping sijil lahir berbahasa asing. Misal sahaja.

Dan tentu juga seperti biasa, kalau namanya urusan dengan Kerajaan, tentulah kita akan menghadapi berbagai halangan dan rintangan serta onak duri cubaan, ibarat seorang hamba sahaya papa kedana mahu menghadap Sang Raja bersemayam di Istana. Namanya juga keRajaan. Masakan tidak ia meRajai.

Siapalah patik ini tidak mahu mengikut semua arahan dan urusan berlapis-lapis bersusun-susun dari atas hingga ke bawah itu semua. Jika pula patik bernasib baik tidaklah patik ditendang dari kanan ke kiri,dari kiri ke kanan pula.

* * * *
Hati saya sejuk sekejap dalam kepanasan satu hari itu.
Sedang saya belajar menahan amarah dan mengumpul sabar dalam hati lantaran masa hampir 2 jam setengah terbuang sia-sia, nombor giliran saya tiba.

"1034...kaunter 4"

Bingkas saya bangun. Duduk di hadapan kaunter.
En Mazlee bin Omar. Seorang lelaki dalam lingkungan lewat 20-an menghadap saya. Berbaju kemeja kemas bertali leher dengan rambut spike ala-ala beckham dulu-dulu.

Saya hulurkan borang yang sudah lama diisi. Lengkap semuanya. Tiada satupun yang diperlukan tertinggal. Saya sudah muak dengan respon negatif yang muncul tiba-tiba hanya bila borang diberi. 
Kali ini juga saya menanti lagi sekali. Apa lagi yang tak cukup?

Saya diam melihat En Mazlee mengambil dan menyelak helaian borang. Diam dan hanya melihat.

"Awak nak sambung belajar ke luar negara ya?"
"Ya."
"Ke mana? Mesir?"
"Ya. Macam mana encik tahu?"
"Ramai yang datang sebelum ni. Urusan sama. Sebelum ni dari Kedah."
"Oh."

Dia menaip sesuatu ke dalam komputer. Bertanya sebentar kepada rakan sekerjanya di sebelah. Kemudian menaip semula.

"Kalau jadi pergi tahun ni, awak tak beraya di Malaysia lah ya?"
"Macam tu lah nampaknya."
"Uuu..mesti rindu nanti. Awak pergi sana jaga diri baik-baik ya. Belajarlah betul-betul. Bukan senang pergi luar negara."
"Hmm..insyaAllah"
"Awak nak ambil apa nanti? Syariah lah ya?"
"InsyaAllah."
"Uuu..hebatnya. Mesti seronok dapat belajar lagi tinggi-tinggi. Mak ayah pun belajar luar negara?"
"Hmm..Ye."
"Uuu..hebatnya. Anak lahir luar negara, sambung belajar pun luar negara. Nanti sampai sana doakan saya sampai sana juga tau. Saya ni cemburu tengok orang macam awak. Saya belajar sampai form 6 saja. Ustaz-Ustaz saya di sekolah dulu semua belajar di Al-Azhar."
"Oh...insyaAllah."
"Saya ada seorang kawan sekarang di Mesir juga. Satu hari dia telefon dari sana. Terkejut saya. Dia kata dia sudah doakan saya sampai sana juga. Meremang bulu leher saya. Dia kata nama dah dipanggil nanti sampailah juga. Saya seronok sangat dengar, kalau betul Ya Allah, seronok betul saya dapat belajar sana."
"Wah...baguslah."
"Jangan lupa ya doakan saya. Doakan nama saya bila awak sampai sana nanti."
"InsyaAllah."

Rupa-rupanya masih ada yang tahu menghargai NILAI di sebalik STATUS dan PENCAPAIAN (ayat ini perlu difikirkan dan perlu kepada huraian. Anda bebas mentafsir.)

Sejuk hati saya.

InsyaAllah kalau saya tak terlupa saya doakan untuk awak En Mazlee Bin Omar.

3 comments:

  1. tak sangka

    ingatkan semuanya dalam keadaan tak stabil (pms misalnya).

    payah melempar senyum. waktu tak sesuai

    ReplyDelete
  2. sangat menarik, terima kasih

    ReplyDelete
  3. ~: gembira meMbaca kisaH suaMI terciNta...Aloiey Pinky (Facebook)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails