February 22, 2008

Tempuhlah demi merdeka!


“Orang yang merdeka ialah orang yang memelihara kasih sayang sesaat, atau ia intima’ (mengikat dan menjalinkan ikatan) dengan orang yang pernah memberinya kata bermanfaat walau sepatah”

-Imam Syafii-

Dakwah ini telah mengajarkan kepada anda erti kasih sayang, dan memberitahu kepada anda seluruh maknanya, bukan sekadar kata. Jika anda seorang yang berjiwa merdeka, pasti anda akan menjaga kasih sayangnya, ikhlas untuknya, dan menjauhi berbagai fitnah yang selalu mengintainya. Jika anda telah mengorbankan kemerdekaan anda, hanya kerana mementingkan diri sendiri, maka nilai diri anda sesuai dengan sikap yang anda pilih.

(Al-Awaaiq – Sheikh Ahmad Ar-Rasyid)

* * * * *

Senyap sahaja dia hari itu. Duduk berteleku di pinggir katil empuk di biliknya. Perlahan-lahan, satu persatu, baju-bajunya yang siap terlipat ditatapnya sungguh-sungguh. Hanya menanti sahaja masa untuk dikemaskan ke dalam beg, dan bakal menjadi temannya dalam musafirnya kelak. Sejauh perjalanan yang belum tentu tempoh juga jaraknya, sejauh itu juga yang harus dia tempuhi sebelum perjalanan itu sendiri bermula. Samada ke Sana atau ke Situ, untuk melanjutkan pelajarannya.

Ada keluh dan nafas berat terlepas perlahan. Lelah menanggung dada yang sesak teruji. Entah sudah berapa hari dia tidur dan bangun bertemankan sabar dan doa yang tidak pernah putus. “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati ini di atas agama-Mu, tetapkan hati ini di atas ketaatan kepada-Mu, tetapkan hati ini atas jalan dakwah-Mu,”.

Sentiasa sahaja doa itu meluncur dari bibirnya dengan berat air mata yang mengalir.

Hari-hari yang berlalu adalah hari peperangan baginya. Hari-hari yang nyata terkandung konflik dan dilema. Hari-hari ujian, ujian, demi ujian. Jiwa, perasaan, dan minda inteleknya bertarung hebat. Dari luar pula datang bermacam-macam kata dan idea. Sungguh, segalanya bertemu dan bertembung.

Mindanya disepit antara faham tarbiyyah dan Islam yang diperkenalkan kepadanya selama ini, dengan wawasan-wawasan melangit ibu, ayah, juga lain-lain manusia yang tidak pernah dia kenal dalam safar tarbiyyahnya. Perasaannya disepit antara cinta yang terbenam dalam hatinya kepada dakwah dan Islam yang dipelajarinya, dengan cinta dan simpatinya kepada airmata ibu, ayah, juga lain-lain manusia yang tidak pernah dia jumpa dalam kembara tarbiyyahnya.

Hingga dia sendiri, sebenarnya pernah hampir mengiyakan kata-kata orang dari luar yang entah jelas atau tidak fahamnya dengan tarbiyyah dan dakwah,entah ikhlas atau berkepentingan memberi nasihat kepadanya..

“Kamu ni kan memang jelas ada bakat luar biasa dalam bidang Matematik, Sudoku pun sudah jadi mainan kamu hari-harian. Bukan bagus kalau kamu teruskan sahaja mengasah bakat unik kamu tu, biar jadi pakar matematik atau mungkin, pakar ekonomi? Kamu pun tak perlu risau tentang kerja nanti. Bank-bank terkemuka pasti berminat dengan kamu!”

“Sambung sahaja pelajaran kamu ke Situ. Di Situ nanti ada tajaan. Biasiswa. Tanggungan sepenuhnya untuk kamu. Makan mudah, belajar mudah, pulang ke rumah juga mudah. Mudah sikit hidup di sana, silap-silap kamu boleh melancong ke lain-lain tempat nanti. Kan seronok tu? Ada biasiswa, boleh senang-senang, kenapa nak bersusah-susah?”

“Dalam keluarga kita ini belum lagi ada orang-orang berpangkat tinggi dan kerjanya bagus-bagus. Kalau bukan kamu yang mampu, siapa lagi? Kamu ni harapan tahu? Seluruh keluarga berharap dengan kamu. Takkan kamu nak musnahkan harapan kami semua? Kamu mesti berusaha dapatkan profesion yang bagus-bagus!”

Semuanya berenang-renang dalam kolam fikirnya sentiasa.

Dia bingkas bangun. Ambil wudhu’. Berdiri tegak menghadap kiblat lantas menyempurnakan solat 2 rakaat. Sedaya upaya dia berusaha untuk khusyu’.

Rupanya solat itu jadi solatnya yang cukup bermakna.

Usai memberi salam, dan berdoa dengan doa yang Rasulullah ajarkan dalam sebuah hadith sahih riwayat Jabir bin Abdullah :

“Ya Allah, aku beristikaharah kepada-Mu dengan ilmu-Mu, dan aku minta ditakdirkan dengan takdir-Mu, dan aku memohon kepada-Mu dengan keagungan kurniaan-Mu. Sesungguhnya Engkaulah yang mentakdirkan sedang aku tidak mampu mentakdirkan, dan Engkaulah yang mengetahui sedang aku tidak mengetahui, dan Engkaulah yang paling mengetahui segala yang ghaib.

Ya Allah, sekiranya Engkau mengetahui, bahawa sesungguhnya perkara ini baik bagiku dalam agamaku, kehidupanku, dan kesudahan hidupku, maka takdirkanlah ia untukku, dan mudahkanlah ia untukku, dan berkatilah aku dalamnya.

Sekiranya Engkau tahu bahawa sesungguhnya perkara ini buruk bagiku dalam agamaku, kehidupanku, dan kesudahan hidupku, maka jauhkanlah ia daripadaku, dan jauhkanlah aku daripadanya, dan takdirkanlah untukku yang lebih baik daripadanya, dan redhailah aku.”

Dia baring perlahan-lahan di atas katilnya. Mulutnya perlahan-lahan menyebut lafaz-lafaz istighfar. Tidak putus-putus, hingga matanya perlahan-lahan menjadi berat, dan dia tenggelam dalam sebuah lena yang cukup bererti.

Saat itu, segala memorinya berputar semula. Satu juzu’ hidup yang dilaluinya sebelum ini, dan kemas tersimpan dalam apa sahaja yang ada di tubuhnya. Jiwanya, mindanya, juga hatinya. Takdir Allah memang cukup halus perlaksanaannya.

Dia terimbau semula saat dia hidup dalam suasana tarbiyyah dirinya awal-awal dahulu. Saat dia masih membenci apabila ditegur murabbinya apabila dia mengaku bangun lewat untuk solat Subuh. Waktu dia masih membenci apabila murabbinya memintanya berterus terang tentang masalah-masalah dirinya yang tidak pernah dia ceritakan kepada sesiapa pun, walau ibu dan ayahnya, yang akhirnya terburai juga di hadapan murabbinya yang betul-betul sabar mendengar dan membantu.

Perasaan benci itu akhirnya dia relakan untuk hilang. Berganti pula dengan memori-memori manisnya berada dalam suasana yang sebegitu. Dalam kumpulan usrah bersama kawan-kawan yang tidak pernah dia jumpai di tempat lain, juga bersama murabbi-murabbi yang tidak pernah dia rasakan begitu mengambil berat tentang dirinya seluruhnya. Terkenang juga pada semua program-program tarbiyyah yang dilaluinya, juga segenap pengajaran yang dia perolehi daripadanya, samada secara langsung atau dengan sentuhan-sentuhan ikhlas daripada para murabbinya.

Manis yang dikenangnya bukan pada seronok yang biasa-biasa sahaja, bukan juga pada segala keindahan bersama rakan-rakan ke sana dan ke sini, dan bukan pula pada segala kepuasan dibelanja makan dan minum.

Bukan sekadar itu.

Tetapi manis yang terkenangnya kali ini ialah pada segala yang telah ditunjukkan kepada dirinya oleh tarbiyyah ini tentang Islam, hidup di dunia, dan hidup di akhirat. Tentang Muslim, tanggungjawab, dan tujuan. Tentang tugas, dakwah, dan masa hadapan Islam. Tentang masyarakat, masalah dunia, dan penyelesaiannya. Hingga dirinya hari ini, menurut ukurannya, jauh berbeza pemandangan dan pemikirannya berbanding saat-saat sebelum dia mengenal tarbiyyah.

Perlahan-lahan memori itu menghilang. Hingga saat sebelum ia sepenuhnya hilang, yang dia lihat dalam lenanya yang bererti itu ialah wajahnya sendiri,bersilih ganti dengan wajah para murabbinya. Semuanya pernah mengajar erti dan makna berada di atas jalan yang dia lalui selama ini.

Tersedar dia tiba-tiba. Saat yang sama dia merasakan, dadanya seolah-olah baru dibebaskan dari sebuah batu besar yang menghempap. Lega. Tenang.

Sekali lagi dia memandang kepada baju-bajunya yang siap terlipat di sisi katil. Terpandang pula tulisan tangannya sendiri di papan putih yang tergantung di biliknya :

Orang yang merdeka ialah orang yang memelihara kasih sayang sesaat, atau ia intima’ (mengikat dan menjalinkan ikatan) dengan orang yang pernah memberinya kata bermanfaat walau sepatah”

-Imam Syafii-

Tiada lagi sangsi. Tarbiyyah ini sesungguhnya sudah pun banyak mengajar pelbagai makna. Kini masanya dia menunjukkan setianya, juga tetapnya kepercayaan kepada tarbiyyah, juga jalan yang selama ini dilaluinya, yang tidak lelah membelai dengan belaian penuh didikan juga penghayatan.

Tidak perlu lagi dia runsing. Tidak perlu lagi dia membuang masa menimbang-nimbang,berbincang-bincang panjang. Jelas dia mampu memilih antara semua pilihan.

Tidak syak lagi. Jalan dakwah dan tarbiyyah yang harus menjadi prioriti utama.

Ya, walau susah, walau lelah, walau payah, tempuhlah jua, demi merdeka!

3 comments:

  1. dunia lebih indah...
    perintisnya? Kita lah..!!

    ya mnuqallibal qulub..
    THABBIT qulubana
    ala deenika
    wa ala to'atika

    ReplyDelete
  2. Cerita yang sangat bermakna.....
    ........scara jujur...
    serita ini banyak mambantu saya
    jazkllh...

    ReplyDelete
  3. permulaan yg mula,Bismillah..

    akademik no.1, tp da'wah bkn no.2..

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails