September 06, 2007

Bahana berziarah.


Saya baru sahaja pulang dari berjalan-jalan. Tak jauh, sekitar-sekitar blog ini sahaja. Sempat melawat beberapa blog-blog yang berjiran, jauh dan dekat. Ada yang dihias indah dengan lampu kelip-kelip, ada yang diberi cat yang menyeramkan, dan tak kurang juga ada yang pandai membina satu landskap yang memberi ketenteraman jiwa, pada blog masing-masing.

Itulah masa kita semua. Kita semua duduk di dalam blog kita. Kita bina buat berteduh dari panas dan hujan cerita-cerita hidup. Bebas sahaja sesiapa yang mahu bertandang. Cuma air kopi panas sahaja yang tidak tersedia.

Bagus atau tidak keadaan ini?

Satu sisi, saya sukakannya. Namun, pada sisi yang lain, ia berjaya juga membuat saya sedih hampa kecewa.

Saya suka melawat jiran-jiran blog saya kerana saya boleh mengenali mereka. Bukan sekadar di mana letak duduk hidung mata mereka, tetapi juga segala yang bermain-main di dalam rangka minda mereka dan segala yang terlantar di dalam hati mereka. Bukan sekadar taaruf, tapi juga tafahum. Bukan seronok perkara itu?

Gembira sekali hati saya kalau sesudah saya faham mereka, hati saya jadi kembang mekar berbunga. Ingin sekali saya lanjutkan faham saya kepada hati dan jiwa mereka.
Sayang, sedikit sekali yang begini. Tak susah mengenali mereka. Mereka itu yang ada cita-cita dan 'izzah yang cukup tinggi sekali dengan ISLAM yang mereka bukan sekadar warisi dari orang tua mereka.

Apa yang sedih? Sedih hati saya bila selesai sahaja saya bertandang ke sesetengah yang lain pula, saya pulang dengan tangan kosong, hati pula seribu duka dan hampa. Cukup kecewa, entah bagaimana lagi boleh saya gambarkan. Kecewa kerana apa?

Pertama, mereka ini banyak jumlahnya. Bertimbun-timbun kekecewaan yang saya alami. Selesai satu blog, datang pula blog yang lain. Cukup banyak.

Kedua, kerana mereka ini pernah saya kenali seadanya. Saya malah pernah duduk di dalam satu acuan tarbiyyah bersama-sama dengan mereka semua. Mereka dan saya punyai peluang yang sama dahulu untuk jadi mulia dengan ISLAM, dan mereka lepaskan ia sekerat jalan.
Saya tak tahu siapa yang bersalah.

Cuma saya pasti, jika yang datang berziarah ialah bekas para naqib atau murabbi atau guru atau mungkin tukang kebun mereka sekalipun, pasti beribu kali ganda kecewa dari saya. Pasti.

Saya sampaikan salam buat mereka ini, yang pernah menjadi rakan saya yang amat saya kasihi.
Sejahtera buat mereka yang mengikut petunjuk-Nya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails