June 05, 2014

Kenangan Hidup Majmuk (1)


Dari tahun 1992 sehingga awal tahun 1997, keluarga saya menetap di Kelana Jaya. Ia adalah sebuah bandar kecil di dalam bandar Petaling Jaya. Komposisi penduduknya bercampur-campur antara Melayu, Cina, dan India.

Semasa duduk di sana, saya 'bersekolah' di sebuah taska Islam (taski). Taska ini masih segar rupa bentuknya dalam ingatan saya. Dari rumah saya, jauhnya hanya 5 minit perjalanan. Saya akan pergi setiap hari pada waktu pagi dengan pakaian baju melayu putih dan sampin hijau (berzip dan bercangkuk). Di sana, saya belajar perkara-perkara asas tentang Islam. Daripada solat dengan rukun yang betul sehinggalah belajar bernasyid tentang akhlak yang mulia.

Pada waktu petang, saya akan habiskan masa bermain bersama teman sepermainan. Masih jelas dalam ingatan saya, boleh saya katakan hampir sepanjang keluarga saya tinggal di Kelana Jaya, saya berkawan dengan beberapa orang rakan Melayu dan seorang rakan Cina. Saya tidak terlalu rapat dengan rakan-rakan Melayu ketika itu kerana mereka bukanlah penduduk asal di situ, cuma menumpang rumah pengasuh mereka yang kebetulan sebaris dengan rumah saya.

Saya lebih rapat dengan teman Cina saya. Sehingga ke hari ini, saya tidak tahu nama sebenarnya. Dia hanya meminta saya memanggilnya 'Jason'. Pada awalnya saya sangkakan itu ialah nama sebenarnya, namun selepas lama berkawan dengan dia baharulah saya tahu bahawa itu ialah nama timangannya dalam keluarga, dan dia sendiri yang memilih nama tersebut sesuai dengan watak hero kegemaran beliau iaitu Jason, watak Power Rangers yang memakai kostum hijau (Might Morphin' Power Rangers adalah kegemaran kanak-kanak sebaya kami pada waktu itu).

Saban petang saya akan habiskan masa bermain dengan Jason. Selalunya kami bermain basikal bersama-sama. Mengayuh laju mengelilingi kawasan kejiranan kami. Sekali-sekala dikejar anjing lalu kami memecut laju basikal kami (walaupun Jason sendiri membela anjing tetapi dia tetap takut dikejar anjing liar). Setiap petang, saya akan mengusung basikal saya ke depan pagar rumah Jason (yang terletak di penghujung jalan rumah saya) dan menjerit memanggil namanya. Adakalanya dia akan terus keluar dan adakalanya ibunya yang menjawab dan meminta saya tunggu sebentar.

Satu perkara lagi yang membuatkan saya suka berkawan dengan Jason ialah kerana dia hanya pandai bercakap bahasa Inggeris. Pada waktu itu, saya cukup gemar mencuba bahasa selain daripada bahasa ibunda. Dengan berbekalkan sekelumit perbendaharaan kata Inggeris pada waktu itu, saya dan Jason akan bermain dan berbual dalam bahasa Inggeris. Saya masih ingat pada kali pertama saya cuba berkawan dengan Jason. Jason mengayuh basikalnya di hadapan saya, sambil melambai, dia menjerit "follow me!". Saya kehairanan. Mengapa dia menjerit menyebut nama shampoo? Saya segera pulang ke rumah dan bertanya kepada ayah apakah maknanya jeritan Jason itu. Apabila saya faham maknanya saya pula menjerit begitu dan mengajak Jason mengikut saya mengayuh basikal. Ayah sayalah yang selalunya menjadi kamus saya pada waktu itu.

Keluarga Jason agak berada. Pernah sekali dia menunjukkan koleksi 'action figure' Power Rangers yang dimilikinya kepada saya. Semenjak itu saya akan sering merujuk kepada Jason tentang plot cerita Power Rangers yang terdahulu dan akan datang. Memang Jason serba tahu tentang Power Rangers.

Memori persahabatan saya bersama Jason adalah paling jelas pada satu peristiwa. Ketika itu kami sedang bermain-main bersama di tepi pagar masjid. Kejiranan kami memang terletak betul-betul bersebelahan dengan Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya. Sedang kami bermain, azan Asar dilaungkan. Saya mengajak Jason berdiri di sebelah saya sambil berpaut kepada pagar masjid.

"Jason, kau dengar ni? Ini namanya azan."

Jason menjawab, "Ya, aku dengar."

"Boleh kau ikut aku ulang azan ni?"

"Ha? Macam mana? Aku tak pandai lah." Jason kehairanan.

"Tak apa, jangan risau. Aku sebut, engkau ikut ya."

Saya kemudian ikut menyebut laungan syahadah di dalam azan Asar yang sedang dilaungkan. Jason mengulangnya semula mengikut sebutan saya, dalam pelat cinanya.

Sesudah azan kami beredar pergi dari situ. Kami pulang ke rumah masing-masing.

Malam itu, dengan penuh bangga saya bercerita kepada ayah saya;

"Wallid, Jason sudah masuk Islam!"

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails