May 18, 2014

Islam urusan peribadi & urusan negara

Di musim-musim pilihanraya begini (Mesir & Malaysia), saya terkenang saat-saat saya berbual dengan Madam Hoda, tuan rumah lama saya, seorang rakyat Mesir biasa.

Saya masih ingat ketika beliau hadir ke rumah saya mengutip sewa pada suatu hari. Ketika itu Mesir baru sahaja selesai menjalani pilihanraya Presiden pusingan pertama. Ada sela masa hingga menjelang hari pilihanraya pusingan kedua; antara dua calon iaitu Dr Morsy dan Ahmad Shafiq.

Madam Hoda ketika itu kekeliruan. Lalu beliau bertanya kepada saya, "Jika engkau seorang rakyat Mesir, siapa yang kau akan undi sebagai Presiden?"

Saya membalas soalannya, "Yang seorang ini menghafaz Al-Quran, isterinya menutup aurat dengan sempurna, dan anak-anaknya juga menghafal Al-Quran. Yang seorang lagi tidak. Yang mana akan kau undi?"

Madam Hoda menjawab pantas, "Tentulah yang seorang itu. Kalau begini tak perlu fikir panjang."

Itulah rakyat Mesir biasa yang saya kenali. Islam dan ajarannya mengalir hangat di dalam darah mereka. Pada pandangan orang luar, tentu jawapan begini dianggap terlalu simplistik dan tidak faham hakikat politik. Tetapi bagi kebanyakan rakyat Mesir yang sekian lama mengadunkan hidup dan adat mereka dengan semangat dan ajaran Islam, mereka mengenal manusia dengan tanda-tanda keiltizaman mereka terhadap agama. Ya, ada pihak yang mengambil kesempatan di atas cara fikir mereka yang mudah dan natural ini. Tetapi begitulah cara kebanyakan rakyat Mesir berfikir (tanpa pengaruh media).

Adakah cara fikir mereka ini salah? Bagi saya tidak. Ya, mungkin tidak tepat dan terlalu bersifat permukaan namun pada pandangan saya jawapan ini lahir daripada kefahaman mereka bahawa segala urusan - baik peribadi mahupun negara - adalah berkait semuanya di dalam Islam. Di atas cara fikir yang kelihatan lurus namun benar inilah kebanyakan rakyat Mesir (khususnya di luar bandar) membuat keputusan tentang siapakah yang layak memimpin negara mereka.

Bagi orang Malaysia yang duduk di Mesir selalunya sifat lurus orang Mesir ini mengundang masalah (terutama dalam urusan seharian). Tetapi bagi saya, ianya sebuah sifat yang pasti akan saya rindui.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails