May 05, 2014

Hudud Sukar Dilaksanakan

Ya, benar, hudud sukar untuk dilaksanakan.

Ia sukar untuk dilaksanakan - yakni dijatuhkan dan dikenakan - ke atas orang yang didakwa. Pelbagai syarat dan pembuktian perlu berlaku terlebih dahulu. Boleh jadi kebanyakan kes tidak akan sampai ke tahap berlakunya hukuman hudud, tetapi ia akan jatuh ke tahap hukuman takzir (yang ditentukan hakim/pemerintah). Bukti hal ini banyak di zaman Rasulullah s.a.w. Boleh dikira dengan jari berapa ramai sahaja yang benar-benar direjam kerana berzina (itupun akhirnya dijatuhkan hukuman kerana pengakuan).

Tetapi bukan sukar untuk dikuatkasakan.

Cuma, mengapa perlu dikuatkuasakan?

Penguatkuasaan hudud membawa banyak makna. Selain daripada ianya menunjukkan sikap ta'abbudi (kehambaan) sebuah umat kepada Allah s.w.t (dan ini adalah makna yang teragung), ia juga membawa suatu gelombang dan arus yang bersifat mencegah. Fitrah manusia memerlukan kepada dua bentuk talaan/didikan - yang bersifat lembut & menggembirakan (bashiir/targhiib) serta yang bersifat tegas & menggerunkan (naziir/tarhiib). Fitrah ini gagal difahami oleh manusia-manusia yang melihat bahawa kebahagiaan (as-sa'aadah) itu terhasil daripada kegembiraan emosi dan kecukupan material/fizikal sahaja. Seorang mukmin memahami jiwa manusia dengan lebih dalam; beliau tahu bahawa kebahagiaan juga terhasil daripada perasaan takut dan gerun dengan kemurkaan Allah terhadap dirinya (ini dinamakan at-taqwa).

Selain itu, penguatkuasaan hudud juga membawa suatu isyarat besar di dalam sebuah negara. Ia menghantar sebuah mesej bahawa di negara tersebut, berlakunya sebuah fenomena yang disebut sebagai 'ketuanan Islam'. Menurut ulama' as-siyasah as-syar'iyyah (politik Islam), kewujudan 'ketuanan Islam' di dalam sebuah negara membawa kepada pengiktirafan tanah tersebut sebagai tanah kerajaan Islam secara syarak, yang terbina daripadanya pelbagai hukum-hakam yang sesuai dengan statusnya. Dengan status tersebut, ia mendapat kemuliaan untuk memiliki mandat umat Islam dan bukan Islam yang menjadi warganegara, dan pada masa yang sama menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan kewujudan keadilan sosial, toleransi agama, kesatuan rakyat, dan kebebasan politik (menurut kayu ukur Islam).

Jadi buat orang-orang Melayu Islam yang skeptik dengan apa yang sedang berlaku sekarang, saya ingin berpesan: Ia bukan sekadar hudud - potong tangan dan rejam - yang anda bayangkan. Ia bukan sekadar itu (or in english; it's not just that. It's what beyond that).

Kita menjadi skeptik dengan agama kita sendiri kerana permainan persepsi yang dijalankan oleh orang yang tidak faham dan berniat jahat. Sedarkah kita?

Hudud yang sebenar sukar dilaksanakan -- yakni dijatuhkan dan dikenakan.

Tetapi ia tidak susah dikuatkuasakan -- jika umat Islam memiliki keinginan, dan kesatuan. 

1 comment:

Related Posts with Thumbnails