November 18, 2012

Demokrasi & Islam - Dr Munir Muhammad Al-Ghadban

1. Demokrasi sebagai sebuah Aqidah/ideologi; iaitu yang memberikan hak menentukan sistem perundangan seluruhnya kepada rakyat, dan bukannya Allah, ialah kekufuran yang jelas dan nyata terhadap Al-Quran dan As-Sunnah.

2. Demokrasi sebagai sebuah sistem pemerintahan, diterima pakai sesama Muslimin tanpa sebarang masalah.

3. Pilihanraya, dengan segala jenis-jenisnya dan syarat-syaratnya, adalah cara yang dituntut di dalam pemerintahan yang berlandaskan syura.

4. Konsep pemisahan kuasa ialah konsep yang diterima oleh Islam, dan ianya telah memelihara kebebasan dan ketersendirian kuasa legislatif para Ulama' umat ini sepanjang sejarah Islam, tanpa campur tangan daripada pemerintah. Ia juga telah menjamin kuasa perundangan untuk beramal dengan syariah tanpa campur tangan daripada pemerintah.

5. Kuasa legislatif di dalam Islam adalah bidang bagi Ulama' (pada perkara yang tiada Nas), dan mereka disokong dan disertai oleh kumpulan pakar-pakar (dalam bidang yang berkaitan) untuk membantu menyesuaikan hukum-hukum di dalam Nas dengan situasi semasa. Yang diambil kira dalam mengeluarkan hukum ialah persetujuan majoriti Ulama' dan kumpulan pakar ini.

6. Yang perlu diambil kira dalam mengeluarkan hukum bagi pengurusan politik, keselamatan, perkhidmatan, dan lain-lain, ialah penerimaan majoriti/suara majoriti. Ia dizahirkan melalui majlis, agensi, dan institusi yang mewakili rakyat secara keseluruhan, supaya terlaksananya prinsip syura yang dituntut di dalam Islam (As-Syura : 38).

7. Melantik kuasa eksekutif, atau kuasa legislatif, atau kedua-duanya, secara pungutan suara majoriti, ialah tuntutan yang selari dengan prinsip syura di dalam Islam. Begitu juga kewujudan pelbagai jenis kuasa; kabinet, parlimen, dan sebagainya, juga termasuk dalam usaha merealisasikan tuntutan prinsip syura Islam.

8. Kuasa perundangan (judicial), pemilihan hakim, dan kebebasan hakim dalam menentukan keputusan (tidak dipengaruhi kuasa lain), juga ialah sebahagian daripada asas-asas syura di dalam Islam.

9. Mengambil kira pandangan umum, pandangan massa, memorandum rakyat, dan sebagainya ialah sebahagian daripada usaha merealisasikan prinsip syura di dalam Islam.

10. Perletakan perlembagaan oleh lembaga yang berkaitan, serta referendum terhadap perlembagaan, tidak boleh menghalalkan perkara yang haram, dan tidak boleh mengharamkan perkara yang halal. Ini juga sebahagian daripada kefahaman terhadap prinsip syura di dalam Islam.

11. Kita menerima pakai sistem demokrasi, kerana sistem ini memberikan kita kebebasan (yang cukup untuk melakukan dakwah), berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sendiri, iaitu al-ijaarah.

12. Kita dibolehkan mendirikan sebuah kerajaan yang berasaskan demokrasi, bersama dengan pihak-pihak selain kita, sebagai ganti kepada kerajaan yang bersifat diktator dan menyekat kebebasan dakwah. Ini berdasarkan tindakan Rasulullah s.a.w sendiri yang bertemu dengan pelbagai kabilah, meminta untuk memberinya perlindungan supaya baginda dapat menyampaikan dakwah dan menegakkan syariah, walaupun kabilah-kabilah tersebut tidak memeluk Islam (al-ijaarah) .

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails