July 21, 2011

Menjadi orang tengah


Macam-macam juga perkembangan aktiviti mahasiswa di Mesir baru-baru ini.

Musim peperiksaan tak berapa menjadi penghalang gelombang-gelombang di Malaysia sampai ke sini dan disambut. Terutama gelombang kuning yang masih lagi menjadi bual bicara dan bahan bincang bagi kebanyakan warga Malaysia. Jiwa-jiwa yang terkesan dengan seruan tuntut keadilan dan ketelusan, menyambut seruan ini, dan mengibarkan panji dengan cara tersendiri di Mesir.

Rentetannya tidaklah sukar dijangka. Tentulah ada pihak yang risau, dan berniat mahu mengawal dan menjaga keharmonian situasi pelajar di Mesir. Kemudian akan berlakulah tindakbalas antara kedua-dua pihak. Pastinya bergeser. Masing-masing ada hujah dan sebab yang tersendiri.

Dan akan muncullah pelbagai pendapat dan pelbagai cara penyelesaian. Ada yang 'radikal' dan ada yang rasional.

* * * * *
Jujurnya saya secara individu tidak berkesempatan terlibat secara langsung, walaupun bagi isu-isu yang terjadi, saya segera berfikir dan menetapkan pendirian peribadi saya. Saya rasa lebih baik menjadi pohon utuh yang punya akar, daripada menjadi lalang lembut yang meliuk ke kanan dan kiri mengikut angin. Tidak berpihak untuk kekal menjadi rasional dan berpendirian, adalah lebih baik daripada berpihak tanpa pendirian, dan sekadar mengikut-ikut.

Ini pandangan peribadi saya. Rasanya tak salah, dan tak bercanggah syarak.

Apapun, yang paling besar sebenarnya ialah apa pengajaran daripada semuanya. Sesuatu perlu diperhatikan dan perlu diambil pengajaran, untuk perjalanan yang lebih jauh di depan.

* * * * *

Keistimewaan terbesar orang muda ialah kemampuan menolak diri ke titik paling maksimum.

Cabaran terbesar orang muda pula ialah kelemahan mengawal diri untuk menjadi rasional, dan tidak keluar dari pagar-pagar batasan yang memelihara demi kebaikan jangka masa panjang.

Saya selalu teringat pesan seorang guru saya; manusia jika mahu ke titik paling kiri atau ke titik paling kanan sekali, memang mudah. Cabarannya ialah bagaimana mahu sentiasa berjalan di titik paling tengah.

Tidak salah kalau saya katakan, masa muda paling keemasan, ialah sewaktu menjadi mahasiswa.

Menjadi seorang mahasiswa yang lantang, proaktif, kritikal, dan berani bukanlah perkara yang susah. Putaran zaman menyaksikan tiada generasi mahasiswa yang akan sunyi dari kewujudan mahasiswa-mahasiswa sebegini. Dalam kata lain, ia akan wujud juga secara nature, by default.

Tetapi untuk menjadi mahasiswa begitu, dan pada masa yang sama mempunyai tamayyuz (kelainan) dari sudut rasional, akhlak, dan pertimbangan syarak, itulah perkara yang paling susah. Ini sukar didapati hatta di mana-mana generasi mahasiswa, baik dahulu mahupun sekarang. Macam yang Rasulullah sebut dalam hadisnya tentang unta ar-rahilah (unta tahan lasak, istiqamah, tenang tapi bertenaga), unta rare, sukar dicari, satu dalam seratus. Yang ini takkan muncul by default. Ia perlukan satu proses yang berterusan, tertumpu, dan tekun, mudah dinamakan sebagai proses Tarbiyyah Islamiyyah yang tersendiri.

10 hingga 20 tahun akan datang, mahasiswa hari ini bukanlah mahasiswa lagi. Sudah punya anak bini, kerja, hutang, cukai dan bil, dan 1001 lagi asam garam hidup yang realistik.

Ketika itu, kita perlu lihat semula. Mana dia mahasiswa yang dahulu lantang, proaktif, kritikal, dan berani berdegar-degar. Kalau masih begitu masha Allah, alhamdulillah. Kalau sudah senyap dan bersara dari alam perjuangan seperti di zaman mahasiswa dulu, astaghfirullah. Ikut adat begini yang biasa terjadi.

Tapi mahasiswa ar-rahilah, ikut adat, zaman tidak memberi kesan. Dia akan kekal berjalan dan kekal berjuang sesuai dengan fasa hidup, malah ruang perjuangannya bertambah luas dan dalam.

Jadi kesimpulannya, banyak perkara tentang kehidupan seorang mahasiswa di masa depannya, bergantung kepada bagaimana dirinya ketika menjadi seorang mahasiswa, ketika menjadi orang muda. Jika banyak ke kiri dan ke kanan, masa depannya barangkali kabur dan tak tentu. Jika banyak di tengah, inshaAllah masa depannya nampak jalan terbentang.

Semoga Allah jadikan saya dan kita semua orang muda yang sentiasa 'tengah' di dalam tindakan, dan ar-rahilah dalam perjuangan.








1 comment:

Related Posts with Thumbnails