Recent Posts

Monday, April 20, 2009

Hari-Hari Putrajaya bermula.

Jangan salah sangka dengan tajuk saya. Mungkin ada yang ingat saya sudah tergila-gilakan kerusi empuk PM di Putrajaya hingga perasan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong saya sudah berkuasa di Putrajaya, bila melihatkan tajuk entri ini.

Janganlah begitu. Saya sedar siapa saya.


* * * *
Sesiapa sahaja yang punya kehendak dan perancangan besar mahu belajar di luar Malaysia mengambil tidak kisahlah apa pun, ijazah atau pengalaman saja-saja sekalipun, pasti akan melalui 'Hari-Hari Putrajaya'. Hatta rasa saya yang belajar tinggi-tinggi dalam negara pun pasti pernah terjebak walau sekejap.

Lagi pula kalau bukan warganegara yang normal (tidak normal bukan kurang siuman ya). Misalnya, anda lahir di luar negara lantaran ibubapa belajar di sana dan pulang ke tanah air dengan sekeping sijil lahir berbahasa asing. Misal sahaja.

Dan tentu juga seperti biasa, kalau namanya urusan dengan Kerajaan, tentulah kita akan menghadapi berbagai halangan dan rintangan serta onak duri cubaan, ibarat seorang hamba sahaya papa kedana mahu menghadap Sang Raja bersemayam di Istana. Namanya juga keRajaan. Masakan tidak ia meRajai.

Siapalah patik ini tidak mahu mengikut semua arahan dan urusan berlapis-lapis bersusun-susun dari atas hingga ke bawah itu semua. Jika pula patik bernasib baik tidaklah patik ditendang dari kanan ke kiri,dari kiri ke kanan pula.

* * * *
Hati saya sejuk sekejap dalam kepanasan satu hari itu.
Sedang saya belajar menahan amarah dan mengumpul sabar dalam hati lantaran masa hampir 2 jam setengah terbuang sia-sia, nombor giliran saya tiba.

"1034...kaunter 4"

Bingkas saya bangun. Duduk di hadapan kaunter.
En Mazlee bin Omar. Seorang lelaki dalam lingkungan lewat 20-an menghadap saya. Berbaju kemeja kemas bertali leher dengan rambut spike ala-ala beckham dulu-dulu.

Saya hulurkan borang yang sudah lama diisi. Lengkap semuanya. Tiada satupun yang diperlukan tertinggal. Saya sudah muak dengan respon negatif yang muncul tiba-tiba hanya bila borang diberi. 
Kali ini juga saya menanti lagi sekali. Apa lagi yang tak cukup?

Saya diam melihat En Mazlee mengambil dan menyelak helaian borang. Diam dan hanya melihat.

"Awak nak sambung belajar ke luar negara ya?"
"Ya."
"Ke mana? Mesir?"
"Ya. Macam mana encik tahu?"
"Ramai yang datang sebelum ni. Urusan sama. Sebelum ni dari Kedah."
"Oh."

Dia menaip sesuatu ke dalam komputer. Bertanya sebentar kepada rakan sekerjanya di sebelah. Kemudian menaip semula.

"Kalau jadi pergi tahun ni, awak tak beraya di Malaysia lah ya?"
"Macam tu lah nampaknya."
"Uuu..mesti rindu nanti. Awak pergi sana jaga diri baik-baik ya. Belajarlah betul-betul. Bukan senang pergi luar negara."
"Hmm..insyaAllah"
"Awak nak ambil apa nanti? Syariah lah ya?"
"InsyaAllah."
"Uuu..hebatnya. Mesti seronok dapat belajar lagi tinggi-tinggi. Mak ayah pun belajar luar negara?"
"Hmm..Ye."
"Uuu..hebatnya. Anak lahir luar negara, sambung belajar pun luar negara. Nanti sampai sana doakan saya sampai sana juga tau. Saya ni cemburu tengok orang macam awak. Saya belajar sampai form 6 saja. Ustaz-Ustaz saya di sekolah dulu semua belajar di Al-Azhar."
"Oh...insyaAllah."
"Saya ada seorang kawan sekarang di Mesir juga. Satu hari dia telefon dari sana. Terkejut saya. Dia kata dia sudah doakan saya sampai sana juga. Meremang bulu leher saya. Dia kata nama dah dipanggil nanti sampailah juga. Saya seronok sangat dengar, kalau betul Ya Allah, seronok betul saya dapat belajar sana."
"Wah...baguslah."
"Jangan lupa ya doakan saya. Doakan nama saya bila awak sampai sana nanti."
"InsyaAllah."

Rupa-rupanya masih ada yang tahu menghargai NILAI di sebalik STATUS dan PENCAPAIAN (ayat ini perlu difikirkan dan perlu kepada huraian. Anda bebas mentafsir.)

Sejuk hati saya.

InsyaAllah kalau saya tak terlupa saya doakan untuk awak En Mazlee Bin Omar.

Saturday, April 18, 2009

Wednesday, April 8, 2009

Sehari di P 059.

Semangat dan Perasaan itu. Kurang pasti namanya apa. Tapi ia wujud dengan unik. Kerana wujud ia hanya, hanya bila tiba satu sahaja : Pilihanraya.
Entahlah mungkin 'berkat' namanya itu ada raya barangkali.
Semua orang satu parti macam jadi satu keluarga gayanya. Disatukan dengan bendera, hon, yel-yel, dan kelipan lampu kereta di mana-mana.
Hanya semasa proses pemilihan pemimpin rakyat dirayakan.

Macam-macam-lah orang malaysia. Malaysia Boleh!

* * *
"Haji, esok jemput ke ghumah, teman buat kendughi sikit."
"Ada oghang nikah lagi la ni! Haha!"
"Nikah apanya haji oi! Teman baghu dapat cucu ni ha! Kembor 2 orang teghuih!"
"Hah! Alhamdulillah...tambah 2 undi kita!"
"Takbirrrr....Allahu akbar!"
* * *
Saya hanya berkata kecil dalam hati : moga-moga memang mereka benar-benar ikhlas dengan niat mereka. Kalau betul jalan itu yang mereka imani mampu meluruskan yang telah bengkok,membina yang telah hampir roboh, pastilah Allah akan memberi mereka ganjaran. 
Penjuru Islam ini dijaga oleh setiap dari kita. 
Saya harap mereka lakukan semua itu kerana iman mereka meminta mereka menjaga penjuru mereka.
Dan saya pula memohon kepada Allah menguatkan dan mengekalkan iman saya dengan cara saya menjaga penjuru saya.

Dan Islam akan menaungi akhirnya.

__________
Pilihanraya kecil Bukit Gantang P059 pada 7 april 2009. Calon PAS Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin terpilih dengan majoriti sebanyak 2789 ke atas calon BN Ismail Safian. 
Saya pun tumpang gembira sebab dia orang Melayu Islam. Itu saja.

Bukit Selambau dan Batang Ai tak berminat pun nak pergi.