November 30, 2009

Perpecahan Melayu Merugikan Islam

KAHERAH - Faktor ‘asabiyyah’ sememangnya merupakan faktor yang penting dan perlu diambil kira dalam membicarakan soal kepimpinan dan masa depan Islam dalam sesebuah negara dan pemerintahan. Bangsa yang merupakan majoriti di dalam sesebuah negara Islam perlu menggalas tanggungjawab memimpin kebangkitan dan kemajuan umat Islam di dalam negara tersebut.

Demikian ulasan Sahibus Samahah Dato’ Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan, dalam satu sesi ramah mesra bersama pelajar-pelajar Wilayah Persekutuan di Dewan Sri Putra, Rumah Wilayah Persekutuan, semalam.
Sesi yang berlangsung selama 2 jam itu ternyata memberi peluang kepada para pelajar Pengajian Islam dan Perubatan di Mesir mendengar beberapa perkongsian daripada beliau.

Menjawab soalan berkaitan peranan bangsa Melayu di dalam mengembalikan kemuliaan umat Islam di tanah air, beliau memetik pendapat Ibnu Khaldun di dalam bukunya ‘Al-Muqaddimah’ berkaitan peranan kepimpinan bangsa majoriti atau bangsa tonggak dalam memahami hadis Rasulullah s.a.w : “Kepimpinan itu bersama orang Quraisy”. Pandangan Ibnu Khaldun dalam memahami maksud dan 'illah yang terkandung di dalam hadis ini merupakan pandangan yang paling tepat dan paling sesuai untuk dijadikan panduan dalam isu pemeliharaan survival umat Islam di sesebuah negara, menurut beliau.

Mengakui bahawa bangsa Melayu di tanah air kini menghadapi beberapa cabaran utama, khususnya perpecahan, beliau berkata; “Isu perpecahan bangsa Melayu di tanah air kita yang disebabkan oleh fahaman politik semata-mata merupakan satu perkara yang sangat kita bimbangkan. Kita melihat di dalam sejarah apa yang berlaku kepada puak Syiah sehingga ke hari ini berpunca daripada perpecahan yang disebabkan fahaman politik. Bangsa Melayu yang 55% jumlahnya di Malaysia kini jika berpecah paling tidak kepada 2 kelompok sudah menjadikan nasib Islam berisiko tinggi.”

Menurut beliau lagi, dalam hal ini, bangsa Melayu harus sedar akan kenyataan ini dan bersedia untuk berkorban perasaan demi mewujudkan kesatuan dan kekuatan umat Islam di tanah air. “Abdullah bin Mas’ud pun pernah berkata bahawa ‘apa yang kamu benci di dalam kesatuan dan ketaatan lebih baik dari apa yang kamu sukai di dalam perpecahan’, dan perkara ini Saidina Hasan sendiri membuktikannya apabila beliau rela menyerahkan tampuk khilafah melihatkan pengaruh Muawiyah kepada majoriti umat Islam”, tambah beliau lagi.

Beliau menegaskan bahawa pada masa yang genting ini semua pihak perlu meletakkan kepentingan ummah dan masa depan Islam mengatasi segala kepentingan lain.

November 26, 2009

Eid Adha

Salam Eid Al-Adha 1430H.
Allahu Akbar.
Allahu Akbar.
Allahu Akbar.
Wa Lillahi Al-Hamd.

_____________

Pertama kali beraya di luar Malaysia.
Pertama kali beraya bersama orang bukan Melayu.
Ada kelainan.

November 25, 2009

Praktik Luar Kotak



Kata Rasulullah s.a.w :
“Allah mengelokkan rupa seseorang yang mendengar dari kami satu hadith, lalu dia mengamalkan seperti apa yang didengarinya.”

* * * * *

Hari itu seperti biasa saya ke kuliah. Meredah angin menggigit yang bertiup di awal musim sejuk,sungguhpun matahari tegak di atas kepala.

Hari itu juga saya tergerak untuk terus ke dewan kuliah pelajar-pelajar Syariah Islamiah dari Mesir. Kebiasaannya saya akan singgah terlebih dahulu ke dewan kuliah pelajar asing,sebelum masuk ke dewan kuliah pelajar Mesir. Tahun ini,pelajar Mesir dan pelajar dari negara-negara selain Mesir ditempatkan di dewan kuliah yang berasingan.

Di kerusi bahagian tengah kelihatan seorang pelajar Mesir sedang rancak berbual dengan seorang pelajar Mesir yang lain. Seorang seolah-olah sedang menerangkan sesuatu,dan seorang lagi tampak serius mendengar.

Saya mengambil tempat duduk sebaris di belakang mereka. Mereka terus berbual rancak tanpa menyedari kehadiran saya.

Selang beberapa minit,pelajar Mesir yang rancak menerangkan tadi berpaling ke arah saya. Dia menyapa,memberi salam. Saya jawab salamnya diiring pertanyaan ringkas biasa di Mesir :

Izayyak?

Alhamdulillah,kuwais,tamaam.

Dia memperkenalkan dirinya, dan saya memperkenalkan diri saya.

Sekeping kertas dihulurkan kepada saya. Semacam satu borang kaji selidik. Dia minta saya sedikit masa, untuk dia menerangkan apa yang terkandung dalam kaji selidik tersebut. Saya mempersilakan.

Dalam masa hampir 10 minit dia menerangkan dengan penuh bersemangat. Katanya, dia mewakili satu kumpulan pelajar bernama “Jiil An-Nasr Al-Mansyud”, ingin melaksanakan pelbagai khidmat bakti kepada pelajar-pelajar baru, dan juga kepada universiti.

Soalan yang paling mengesankan hati saya :
“Pada pandangan anda, projek yang manakah yang lebih anda sukai? ‘Projek Kebersihan Universiti’ atau ‘Projek Penyediaan Pengangkutan Untuk Mahasiswa’?”

Mengapa?

Kebetulan malam itu saya sempat bersama dengan beberapa orang rakan dalam satu diskusi. Antara yang kami diskusikan pada malam itu ialah sebuah hadis Rasulullah : “Setiap sendi manusia wajib bersedekah pada setiap hari; kamu berlaku adil terhadap dua orang yang berkelahi adalah sedekah, kamu menolong lelaki menaiki tunggangannya atau kamu menolong mengangkatkan barang-barangnya ke atas tunggangannya adalah sedekah, setiap kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan untuk solat adalah sedekah, dan kamu membuang sesuatu yang menyakiti di jalanan juga adalah sedekah.

Saya tersentak seketika saat kami membincangkan hadis ini. Kepada semua rakan-rakan diskusi saya, saya sampaikan kisah pertemuan saya dengan pelajar Mesir yang ingin berkhidmat bakti, semasa di kuliah.

Kagum seketika mendengarkan kisah saya. Kagum bagaimana mereka berfikir sebegitu untuk mengamalkan hadis yang mungkin juga mereka sama-sama diskusikan sesama mereka. Dan terfikir-fikir mengapa sering kita berbincang tentang hadis Rasulullah dalam diskusi-diskusi kita, tapi tidak sering terfikir hingga untuk melaksanakan projek demi merealisasikan galakan-galakan Rasul di dalam hadis.

Perkara yang mudah Rasulullah sarankan dalam hadis baginda. Menolong orang dengan tunggangan mereka (pengangkutan), dan membuang benda-benda yang menyakitkan di jalanan (sampah dan sebagainya). Dengan iman dan rasa semangat untuk mempraktikkan saranan Rasulullah, kumpulan pelajar Mesir ini mampu berfikir sehingga ke tahap melaksanakan satu projek di peringkat nasional, untuk kebaikan semua komuniti pelajar.

Subhanallah.

Bayangkan sekiranya perkara yang sama berlaku di semua peringkat, dari yang paling bawah hinggalah ke peringkat yang paling atas, negara, dan dunia, maka tentulah tidak pelik jika kita dapati negara-negara Islam adalah negara yang mempunyai sistem kebajikan yang paling efisien dan tahap kebersihan yang paling memberangsangkan.

Kami pulang malam itu dengan kesedaran di dalam hati : Hadis-hadis ar-Rasul bukan semata menjadi bahan ilmiah perbincangan atau bahan perencah dalam penyampaian, apatah lagi menjadi dalil menjatuhkan sesama Islam. Hadis-hadis Ar-Rasul adalah khazanah dan panduan yang mampu membawa masyarakat Islam ke satu tahap yang amat cemerlang. Dengan satu syarat : Ia diamalkan sepenuh hati dan kudrat.

November 16, 2009

Dari Darrasah ke Stad Qahirah.


Curi-curi masa di celah kepadatan. Celoteh ringkas sahaja kali ini.

* * * * *
Dari jam 2 petang masa dihabiskan di dewan kuliah mudarraj sabi' (auditorium ke-tujuh), tingkat 3, bangunan Kuliyyah Syariah & Qanun, Jami'ah Al-Azhar Kaherah. Pelajaran Fiqh Muqarran (Fiqh Perbandingan) mengisi waktu pertama sesi pembelajaran, dituruti subjek Tarikh Tasyri' Islami (Sejarah Perundangan Islam). 4 jam mendengar syarahan doktor-doktor penuh berhemah, dalam bahasa arab yang bercampur-campur fushah (klasik) dan 'ammi (pasar).

Saat pulang dari Kuliyyah,menaiki bas tua putih bernombor 24G (dalam tulisan Arab huruf Jim), dari mahattah (stesen) Darrasah ke mahattah Hayy Sabi', sambil berdiri memaut tangan ke palang besi di celah-celah puluhan manusia ke destinasi yang sama, lelah langsung tidak terasa.

Kepuasan mendalami pelajaran bersama-sama mahasiswa dari segenap pelusuk dunia menjadi penawar kepenatan seharian.

Kulit putih kemerahan dan kulit gelap kemanisan. Berjambang lebat keperangan dan berkumis nipis kehitaman. Berbaju peci asli nusantara dan berbaju jubah bertudung ala maghribi. Umur muda remaja dan umur tua beranak tiga.

Disatukan dengan bahasa dan tujuan yang sama.

Terasa macam sudah pusing satu dunia dalam 4 jam. Masha-Allah.
* * * * *
Di mana-mana kelihatan peti TV menyala. Di luar kedai ayam, di tepi kedai shisha, di dalam kedai dobi, di celah pasar sayur, di luar restoran kebab, di mana-mana ada TV malam itu.
Dan peti hitam itu dikelilingi manusia-manusia berwajah serius. Ada yang menonton sambil menadah tangan penuh harapan, dan ada yang menonton sambil menghembus asap shisha berbau pekat ke awangan.

Jalan raya lengang kecuali yang menuju ke Stadium Cairo.

Begitu sekali rakyat Mesir menjiwai sukan bola sepak. Katakan kepada mereka anda penyokong Algeria malam itu, dan anda mungkin mendapat benjol di kepala atau lebam di mata.

Ya, Malaysia pun tidak kalah. Lagi-lagi kalau ada 'match' Malaysia dengan MU.

Tapi Mesir tetap punya keunikan. Sekalipun seolah-olah seluruh negara sedang menyaksikan perlawanan antara Mesir dan Algeria untuk kelayakan ke Afrika Selatan 2010, tetap di mana-mana tidak kelihatan lelaki dan perempuan duduk bersama-sama. Dan perlawanan hanya dimulakan selepas selesai solat Isya' didirikan, juga selepas seluruh negara mendengar pesanan jurulatih kebangsaan Mesir, Hassan Shahatah, meminta mendoakan kejayaan pasukan kebangsaan.

Saya jadi hormat sejenak.

Usai hampir 2 jam perlawanan berlangsung, Mesir jadi gempar. Seluruh negara dilanda haru-biru. Mesir berjaya menewaskan Algeria dengan mata 2-0.

Seluruh rakyat Mesir seolah-olah dirasuk. Lelaki mahupun perempuan. Tua mahupun muda. Jalanraya yang lengang dipenuhi lori dan kereta mengusung penyokong yang mengibar bendera dan bercat bendera Mesir di muka, sambil kenderaan membunyikan hon-hon pelbagai jenis sahut-bersahutan. Paluan kompang Mesir di mana-mana. Kanak-kanak berlarian ke hulu ke hilir memekik-mekik. Dari lewat malam sehingga ke Subuh.

Esoknya saya beli suratkhabar.

Dua orang pasangan berumur dimasukkan ke wad kerana sesak nafas kerana terlalu asyik bersorak. Seorang kanak-kanak 7 tahun mengalami pendarahan dalaman di kepala setelah terjatuh dari tingkat 6 rumahnya untuk melihat sambutan di jalanraya.

Aduh, Mesir, hilang hormat saya sejenak.

Kata seorang rakan kuliah saya dari Tajikistan : "Habis semua pemuda Islam di Mesir malam semalam. Semuanya telah dicuri!"

November 08, 2009

Pilihan?



Badr adalah sebuah lembah yang memiliki empat mata air, menyisakan kilauan pendar cahaya ditempa sinar mentari. Keempat mata air berada pada posisi zig-zag dari utara ke selatan. Jarak antar sumur, ratusan meter kira-kira. Mereka saat ini berada di mata air paling belakang.

Seorang sahabat...Habab bin Al Mundzir setengah berlari menghampiri sang kekasih. Wajahnya menyiratkan sesuatu, dihiasi titik peluh. “Wahai Rasulullah, apakah dalam memilih tempat ini, Engkau menerima wahyu dari Allah sehingga tidak dapat diubah lagi, ataukah berdasarkan strategi peperangan ?” Rasulullah SAW menjawab, “Tempat ini kupilih berdasarkan pendapat dan strategi peperangan.”

“Wahai Rasulullah, tempat ini tidaklah strategis. Ajaklah pasukan pindah ke mata air yang terdekat dengan musuh (mata air keempat). Kita membuat pertahanan di sana dan menutup sumur-sumur yang ada di belakangnya, lalu kita buat kubangan dan kita isi dengan air hingga penuh. Dengan demikian, kita akan berperang dalam keadaan mempunyai persediaan air minum yang cukup, sementara musuh tidak akan memperoleh air minum.”

Sang panglima tersenyum, “Pendapatmu sungguh baik.” Rasul segera membawa pasukannya ke tempat air yang terdekat dengan musuh. Di tengah malam buta, pasukan Rasulullah telah sampai di mata air keempat. Cepat mereka bergerak, memperbesar mata air keempat dengan mengangkut air dari sumur ketiga. Tanah galiannya mereka jadikan kubu pertahanan, sementara sumur kedua dan pertama mereka tutup.


2.11.1988 - Tarikh lahir saya.

2.11.2009 - Ulang tahun kelahiran saya yang ke-21. Tahun pertama di Mesir.

2.11.2009 - Akhirnya keputusan tetap saya lakukan. Memilih Kaherah sebagai tempat pengajian buat paling kurang 4 tahun selepas ini. Pilihan yang sukar, dan pilihan untuk menempuh jalan yang tidak mudah.

Moga-moga, saya berharap, saya seperti Habab bin Al-Mundzir. Tidak sekarang mungkin. Berlalunya masa, dan takdir akan menentukan.

Pohon doa dari teman-teman sekalian. Wa rabbuna yusahhil.



Related Posts with Thumbnails