October 28, 2009

Qabul.



Saat menulis ini, kecoh-kecoh 'imtihan qabul' atau 'placement test' masih belum reda di kalangan siswa siswi baru Al-Azhar yang mengambil pengajian agama. Al-Azhar minggu lepas mengeluarkan notis memperkenalkan sistem ini kepada semua pelajar asing yang bukan penutur Bahasa Arab.

Kecoh kerana sistem yang diperkenalkan amat tidak dijangka sama sekali, juga diperkenalkan tanpa sebarang makluman awal.

Memang Mesir ini, macam kata kawan saya : "Egypt is like doing COD, each rendesvous is full of surprises. You can never expect.".

Juga dari sistem baru ini timbul tanda tanya yang pelbagai. Tertanya-tanya apa fungsi peperiksaan STAM yang sudah diambil di Malaysia? Tertanya-tanya apa kesannya jika tidak lulus 'imtihan qabul' ini? Tertanya-tanya apakah bentuk peperiksaan ini?

Ada yang berkata ini satu langkah arahan dari kerajaan Mesir. Bunyi-bunyi kerajaan Mesir mahu seboleh-bolehnya mengurangkan pelajar Al-Azhar, dan kalau boleh menutup terus Al-Azhar, memang sudah lama kedengaran, walau setakat ini hanya setakat sembang-sembang kedai kopi tanpa sebarang fakta kukuh.

Saya secara peribadi juga sedikit keliru. Tapi tidaklah risau dan menolak sistem ini. Bagi saya, ada banyak rasional yang positif dari sistem yang baru diperkenalkan ini.

Terutamanya bagi mengawal kemasukan pelajar yang bukan dari Malaysia seperti Thailand, Rusia, dan Amerika. Rasa saya mereka tidak ada sistem seperti STAM yang, kalau tidak banyak, sedikit dapat mengawal nilai pelajar yang mendaftarkan diri di Al-Azhar. Ribuan pelajar dari negara asing tiba di Al-Azhar setiap tahun. Al-Azhar dengan sistem klasik (atau kuno?) sedia ada tak mampu menyelidik secara terperinci setiap pelajar baru. Sekurang-kurangnya imtihan qabul ini mampu menapis sedikit.

Saya yakin peperiksaan ini bukanlah mahu menyusahkan pelajar baru. Ramai menganggapnya susah. Ya, susah, kalau apa yang sudah dipelajari sejak sekolah menengah hingga ke STAM sudah dilupakan saat keluar dari dewan peperiksaan di Malaysia.

Allahu 'Aliim. Rabbuna Yusahhil.


October 13, 2009

Tingkat Demi Tingkat


Sabtu lalu genap seminggu saya bertapak di bumi Mesir. Ikutkan perancangan asal saya, tempoh seminggu belumlah cukup untuk saya mengenal bumi Mesir ini secukup rasa. Al-Banna saat tiba di Ismailiyyah, menghabiskan 40 hari hanya untuk mengenal tempat itu dan budaya penduduknya.

Namun di celah-celah hiruk pikuk bandar Kaherah ini, di celah-celah trafik yang tak pernah tahu berhenti, di celah-celah gerombolan manusia yang menaiki bas setengah Junaih ke Hussin, sempat saya berfikir-fikir juga.

Fasa yang saya lalui sekarang ini bukanlah fasa yang mudah. Ada situasi dan cabaran tertentu yang perlu saya hadapi. Tambah lagi, saat-saat awal ini merupakan satu perpindahan fasa saya kira.

Dari fasa kehidupan sebagai seorang yang punya keluarga terdekat,ibu ayah, adik-adik, dan sanak saudara, ke satu fasa kehidupan sebagai seorang yang berkelana bermusafir bertemankan sahabat-sahabat seperjuangan.

Dari fasa kehidupan sebagai seorang pelajar sekolah yang mempunyai jadual harian mulai awal pagi, beruniform, dan tertakluk kepada peraturan sekolah, ke satu fasa kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang perlu berdikari membina jatidiri dan bebas menentukan kaedah pembelajaran.

Dari fasa kehidupan sebagai seorang penduduk tetap dan warga kepada sebuah negara, ke satu fasa kehidupan sebagai seorang waafidiin (foreigner, bukan PATI ya) di sebuah negara yang titik persamaannya hanyalah agama.

Dari fasa kehidupan yang cara fikirnya begitu mudah,ringkas, dan singkat, ke satu fasa kehidupan yang memerlukan cara fikir yang lebih panjang,tersusun, dan menyeluruh.
Sedikit sebanyak beginilah yang dapat saya renungkan. Saat saya berfikir-fikir sebegini, saya sedar, ramai sekali yang sedang menghadapi perubahan fasa yang sama, atau juga mungkin sudah melalui perubahan fasa ini. Bahkan anda yang sedang membaca ini juga mungkin sedang mengalami perkara yang sama. Barangkali.

Saya bersoal sendiri di dalam hati. Jika perubahan fasa ini satu yang sukar dan perlu tabah menghadapinya, tentulah ianya perlukan satu kesedaran yang tinggi. Tentulah ianya perlukan satu persediaan yang rapi. Tentulah ianya perlukan kekuatan dari dalam diri.

Makanya, berapa ramaikah dari bilangan yang banyak yang melalui fasa ini tanpa sedikit pun menyedari apa yang sedang dilaluinya? Berapa ramai pula yang jika sedar, berbuat sesuatu untuk menghadapinya? Dan berapa ramai pula yang berbuat sesuatu tapi belum cukup ampuh untuk menghadapinya?

Pandangan saya : majoriti tidak menyedari langsung akan perubahan fasa yang dilaluinya ini. Majoriti hanya terketuk minda mereka untuk menjadi lebih matang dan bertanggungjawab saat mereka menimang cahaya mata pertama.

Ini pandangan saya. Fikir-fikirkanlah jika sudi.


Related Posts with Thumbnails