Waktu malam. Azan Isya' baru habis berkumandang. Siapa muazzinnya, saya sendiri kurang pasti.
Dan seperti malam-malam lain, 10 minit (atau 15 minit boleh juga) selepas azan, ialah waktu perdana kupasan isu-isu semasa. Tanahair mahupun luar negara. Siapa lagi kalau bukan penduduk-penduduk veteran Taman Indah Jaya merangkap orang-orang kuat Surau Al-Ehsan. (kuat kerana hanya mereka yang selalu ada - mana pergi orang muda?)
Isu malam itu sudah tentu, isu pilihanraya. Memang demam pilihanraya sangat-sangat mengesani semua orang minggu itu. Mungkin hanya kerana pada minggu itu perkara-perkara sebegitu relevan, rasa saya begitulah.
Dalam suam-suam kuku diskusi-menanti-iqamat itu berlangsung, seorang pakcik agak berumur berdehem mencari perhatian. Senyap semua seketika.
Pakcik berbaju melayu kebangsaan berwarna merah-merah manja mula bersuara.
"Sebenar-benarnya masalah kita ni ada dua saja. Satu, orang-orang kita ni tak dak ilmu. Kita malas nak baca. Dua, orang-orang kita ni islam depa kosong, takat nampak luar saja. Tak faham. Kalau faham, kita tak payah susah-susah hati nak cerita panjang. Depa tau siapa patut jadi pemimpin depa!"
Angguk-angguk belaka orang sekeliling. Dan saat itu iqamat kedengaran.
Pulang dari surau, sambil mengayuh basikal santai, saya pusing-pusingkan sebentar minda saya. Cuba memproses kupasan waktu perdana tadi.
Akhirnya, saya berfikir sendiri.
Memang apa yang disebut pakcik itu tadi logik akal yang cukup mudah. Dia mungkin faham setelah sekian lama terperap di dalam negara menyaksikan sejarah agamanya berlalu di depan matanya sendiri, dan akhirnya dua perkara itulah yang disimpulkannya. Saya yakin sekali itu lahir dari pemerhatiannya sendiri, bukan dari tarbiyyah semacam usrah dan sebagainya.
Bermakna, itu satu logik yang mudah dan cukup benar. Juga sangat bertepatan dengan apa yang saya fahami dari apa yang saya pelajari dalam usrah dan yang sewaktu dengannya.
Maka, bukankah satu-satunya jalan kita mahu lihat Islam jadi acuan tanah kita ini, ialah dengan memberikan tarbiyyah yang meluas dan syumul kepada masyarakatnya. Supaya nanti "Kalau faham, kita tak payah susah-susah hati nak cerita panjang. Depa tau siapa patut jadi pemimpin depa!", macam yang dirumus pakcik tadi.
Seperkara lagi, kalaulah kita mengharapkan dengan seminggu atau lebih ini kita mampu memahamkan masyarakat dengan kebenaran, itu tidak logik sama sekali. Juga jika kita mengharapkan dengan solat hajat perdana demi pilihanraya ini Allah akan mengurniakan kerajaan Islam kepada kita, itu juga tidak logik sama sekali. (Pahala pasti ada, cuma hasilnya?)
Mengapa?
Mudah sekali.
Kita luang sedikit masa kaji kisah ketika seorang sahabat Rasulullah datang kepada baginda s.a.w. Baginda ketika itu sedang khusyuk berdoa di hadapan kaabah. Sang sahabat meminta Rasulullah mendoakan agar diberi kemenangan dan pertolongan pada waktu itu. Ketika itu sahabat sangat ramai yang sedang menderita terseksa diazab didera. Rasulullah tegas menegur : "Engkau ini dari kalangan orang-orang gopoh! Orang-orang sebelum kita mempertahankan aqidah mereka hingga digergaji dari atas kepala ke bawah...(dan seterusnya, atau seperti yang disabdakan Baginda).
Rasulullah yang maksum jika berdoa, kita semua tahu, pasti mustajab. Namun baginda tidak mahu. Kenapa? mudah sahaja. Logik yang diajar Allah dari kisah orang-orang terdahulu dalam Al-QurĂ¡n : Satu kemenangan hanya layak dengan usaha yang penuh tekun,sabar,dan panjang,juga penuh tribulasi dan mehnah. Tiada sama sekali jalan mudah lagi ekspres.
Ini yang saya faham. Anda pula bagaimana?
"It must be borne in mind that any reform should not ignore traditions, tenets, and fundamental principles" --Za'ba
March 06, 2008
March 01, 2008
Siaran Petikan.

Rasa-rasa saya tidak ramai dari kalangan kita orang muda-muda ini, punya cukup masa untuk duduk membaca buku. Apa lagi buku-buku 'berat' karangan orang-orang lama (otai - bahasa saya).
Kebiasaannya atas alasan yang cukup mudah:
1. Pening membaca. Tak faham sangat pun apa yang dibaca.
2. Banyak sangat. Mana nak cari masa baca?
Dan berdasarkan pengamatan saya, ada kalanya alasan-alasan tersebut memang boleh diterima, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru sahaja mengenali dan berjinak-jinak. Tak mengapalah.
Apa yang saya ingin lakukan ialah memetik juzuk-juzuk daripada buku-buku tersebut. Mana-mana yang saya rasakan mengandungi nilai yang sangat penting, yang tak berbaloi dibiar tidak terbaca hanya kerana alasan-alasan tadi.
Cuma satu peringatan saya : Saya memetik juzuk. Anda harus berusaha membaca semuanya.
....jika betul-betul anda ingin faham dan beramallah.
Siaran Petikan 1 :
Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
Hasil nukilan : Ustaz Hassan Al-Banna (Risalah buat pemuda)
Subscribe to:
Posts (Atom)
