September 28, 2007

Mana mungkin begitu sahaja.



Suatu hari, saya duduk meneliti taqwim sekolah. Baris demi baris, lajur demi lajur, saya perhatikan semuanya.
Memang betullah rupanya. Saya sudah tidak punya masa yang panjang lagi di sekolah. Di Hira'.

Saya tinjau-tinjau rakan-rakan saya yang lain. Saya tanyakan kepada mereka, tarikh apa yang mereka debar-debarkan.

"Tarikh SPM? Oh, sama sekali tidak. Tarikh tamat SPM, itu sebetulnya."

Berdebar sekali ya? Debar apa?
"Debar gembira tentunya. "

Oh, tak sangka. Kerana saya berdebar risau bercampur hiba.

Mana mungkin saya tidak berasa hiba meninggalkan tapak semaian saya?
Mana mungkin saya tidak berasa hiba meninggalkan tanah gembur saya?
Mana mungkin saya tidak berasa hiba meninggalkan tempat saya pernah tumbang, lalu didirikan semula?
Mana mungkin saya tidak berasa hiba meninggalkan tempat saya pernah menanam, membaja, dan sempat juga melihat buahnya berputik?

Tidak mungkin saya boleh berasa gembira.

Lalu saya putuskan untuk berbuat sesuatu, demi menampung lompong-lompong hiba dalam hati saya.

Saya akan menulis semula segala yang pernah dipetakan oleh tarbiyyah yang saya lalui di Hira' di dalam kepala saya. Bukanlah ia wasiat terakhir penuh berharga, cuma sekadar berkongsi apa yang ada.

InsyaAllah.

September 07, 2007

Untuk saya.

Hai mulut,

Tolong jangan sukakan ketawa

Bukan apa

Nanti terlupa

Pada tangis pedih saudara Palestin

Pada jerit ngeri saudara Chechnya

Pada rintih sayu saudara Afghanistán

Hai perut,

Tolong jangan sukakan kenyang

Bukan apa

Nanti terlupa

Pada perit lapar anak-anak Somalia

Pada pahit derita anak-anak Bosnia

Pada jerih seksa anak-anak Sudan

Hai tangan,

Tolong jangan sukakan yang sia-sia

Bukan apa

Nanti terlupa

Pada pedih berdarah penjara Mesir

Pada letih terikat mujahid India

Pada deras mengalir darah Iraq

Bila mulut, perut, dan tangan

Mula larut dalam hiburan

Mula rapuh hubungan Tuhan

Mula sesat hilang tujuan

Kasihan.

26 Syaaban 1428H.

September 06, 2007

Bahana berziarah.


Saya baru sahaja pulang dari berjalan-jalan. Tak jauh, sekitar-sekitar blog ini sahaja. Sempat melawat beberapa blog-blog yang berjiran, jauh dan dekat. Ada yang dihias indah dengan lampu kelip-kelip, ada yang diberi cat yang menyeramkan, dan tak kurang juga ada yang pandai membina satu landskap yang memberi ketenteraman jiwa, pada blog masing-masing.

Itulah masa kita semua. Kita semua duduk di dalam blog kita. Kita bina buat berteduh dari panas dan hujan cerita-cerita hidup. Bebas sahaja sesiapa yang mahu bertandang. Cuma air kopi panas sahaja yang tidak tersedia.

Bagus atau tidak keadaan ini?

Satu sisi, saya sukakannya. Namun, pada sisi yang lain, ia berjaya juga membuat saya sedih hampa kecewa.

Saya suka melawat jiran-jiran blog saya kerana saya boleh mengenali mereka. Bukan sekadar di mana letak duduk hidung mata mereka, tetapi juga segala yang bermain-main di dalam rangka minda mereka dan segala yang terlantar di dalam hati mereka. Bukan sekadar taaruf, tapi juga tafahum. Bukan seronok perkara itu?

Gembira sekali hati saya kalau sesudah saya faham mereka, hati saya jadi kembang mekar berbunga. Ingin sekali saya lanjutkan faham saya kepada hati dan jiwa mereka.
Sayang, sedikit sekali yang begini. Tak susah mengenali mereka. Mereka itu yang ada cita-cita dan 'izzah yang cukup tinggi sekali dengan ISLAM yang mereka bukan sekadar warisi dari orang tua mereka.

Apa yang sedih? Sedih hati saya bila selesai sahaja saya bertandang ke sesetengah yang lain pula, saya pulang dengan tangan kosong, hati pula seribu duka dan hampa. Cukup kecewa, entah bagaimana lagi boleh saya gambarkan. Kecewa kerana apa?

Pertama, mereka ini banyak jumlahnya. Bertimbun-timbun kekecewaan yang saya alami. Selesai satu blog, datang pula blog yang lain. Cukup banyak.

Kedua, kerana mereka ini pernah saya kenali seadanya. Saya malah pernah duduk di dalam satu acuan tarbiyyah bersama-sama dengan mereka semua. Mereka dan saya punyai peluang yang sama dahulu untuk jadi mulia dengan ISLAM, dan mereka lepaskan ia sekerat jalan.
Saya tak tahu siapa yang bersalah.

Cuma saya pasti, jika yang datang berziarah ialah bekas para naqib atau murabbi atau guru atau mungkin tukang kebun mereka sekalipun, pasti beribu kali ganda kecewa dari saya. Pasti.

Saya sampaikan salam buat mereka ini, yang pernah menjadi rakan saya yang amat saya kasihi.
Sejahtera buat mereka yang mengikut petunjuk-Nya.
Related Posts with Thumbnails